Asia AFC U23 Championship

“Skor yang tidak mencerminkan kebolehan Malaysia” – jurulatih Iraq puji anak buah OKS

Ketua jurulatih skuad B-23 tahun Iraq, Abdulghani Shahad berpuas hati dengan kemenangan 4-1 ke atas Malaysia petang tadi, namun mengakui bahawa skor tersebut tidak mencerminkan kualiti sebenar pasukan Malaysia.

“Perlawanan pertama selalunya bukan mudah. Dan Malaysia merupakan pasukan yang baik, jadi mungkin skor perlawanan ini tidak adil,” kata Abdulghani, menurut laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Secara umum, kami menunjukkan persembahan yang bagus dalam perlawanan ini dan berjaya meraih tiga mata. Itu perkara yang paling penting. Kami berjaya mencapai keputusan ini tanpa menerima sebarang kad kuning atau merah.

“Ini permulaan yang bagus untuk kami dan saya berharap pemain saya dapat mengekalkan momentum ini untuk perlawanan seterusnya,” tambah ketua jurulatih itu.

Iraq membuka tirai jaringan seawal minit ke-5, sebelum menambah satu lagi gol pada minit ke-28. Alaa Mahawi berjaya menambah satu lagi gol untuk skuad Abdulghani sebelum Safawi Rasid mendapatkan jaringan tunggal Malaysia pada minit ke-79. Dua minit kemudian, Iraq menjaringkan satu lagi gol dan sekaligus meraih tiga mata penting.

Malaysia akan turun berdepan Jordan dalam perlawanan seterusnya pada hari Sabtu ini, manakala Iraq pula akan menentang Arab Saudi pada hari yang sama.