Asia AFC U23 Championship

Piala AFC B-23: 5 perkara daripada kekalahan Malaysia di tangan Iraq

Anda kecewa?

Sebenarnya, tidak banyak sebab untuk kita kecewa dengan persembahan Malaysia tadi kerana Iraq merupakan antara pasukan terkuat Asia dalam kategori umur bawah 23 tahun. Kempen Malaysia bermula dengan kekalahan 1-4 namun keputusan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ini merupakan kali pertama kita layak beraksi di pentas ini secara merit.

Mohammed Jaffal berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-5 untuk meletakkan Iraq 1-0 di hadapan, sebelum Amjed Attwan meledak pada minit ke-28 untuk meningkatkan kelebihan skor Iraq. Malaysia ada menunjukkan beberap tanda kebangkitan, namun Iraq terus mengganas di separuh masa kedua dan sempat mendapatkan gol ketiga mereka melalui Alaa Mahawi pada minit ke-56.

Keputusan OKS untuk membawa masuk Akhyar Rashid di pertengahan babak kedua membantu Malaysia meningkatkan tempo perlawanan dan sekaligus mengurangkan defisit pada mini ke-79 melalui jaringan Safawi Rasid. Malangnya untuk skuad Kim Swee, Iraq menembus pertahanan mereka sekali lagi untuk mendapatkan gol keempat pada minit ke-81.

Skor tersebut kekal sehingga tamat perlawanan dan Iraq berjaya membuka tirai kempen mereka dengan kemenangan yang cukup bergaya. Berikut adalah senarai lima perkara yang kami perhatikan ketika perlawanan petang tadi.

USAHA YANG BAIK

Walaupun tewas 1-4, Malaysia memberi aksi yang cukup bersemangat di atas padang. Ramai yang menjangka Datuk Ong Kim Swee akan memilih untuk menerapkan corak taktikal yang negatif kerana hakikatnya adalah Iraq merupakan bekas juara kejohanan ini. Namun, dari sepak mula, memang jelas bahawa Malaysia menggunakan corak taktikal yang berunsur positif. Formasi 3-4- bermakna Syazwan Andik dan Matt Davies sering dijangka turun membantu bahagian pertahanan namun kedua-dua pemain tersebut juga sering diberi kebenaran untuk menyerang pertahanan Iraq. Skuad OKS sentiasa mencari peluang untuk melancarkan serangan, terutamanya di separuh masa kedua. Namun, perbezaan kualiti di antara kedua-dua pasukan akhirnya menjadi faktor yang membantu Iraq meraih kemenangan selesa.

THANABALAN TIDAK MENJADI

Walaupun menjadi hero Malaysia di peringkat kelayakan, Thanabalan gagal menunjukkan persembahan positif di Stadium Changshu petang tadi. Tetapi, penulis berasa bahawa tidak adil untuk kita salahkan Thanabalan sepenuhnya kerana dia diberi tugas yang lebih sukar kali ini. Di pentas Sukan SEA, Thanabalan berfungsi sebagai 'targetman' untuk skuad OKS. Petang tadi, Thanabalan diletakkan di bahagian sayap. Bukan susah untuk memahami sebab OKS berbuat demikian, kerana Thanabalan antara pemain yang paling rajin dalam skuad Malaysia. Namun akibatnya, kebolehan pemain ini sebagai seorang penyerang gagal diserlahkan.

AKHYAR PERLU DITURUNKAN DALAM KESEBELASAN PERTAMA

Jika Nazmi Faiz menjadi ikon muda Malaysia di kejohanan Sukan SEA pada tahun 2011, Akhyar Rashid adalah ikon muda Malaysia di pentas Piala AFC B-23 tahun. Selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian, Akhyar jelas memberi impak yang positif untuk skuad OKS di atas padang. Dia bukan sahaja mempunyai skil yang bagus dan tahap ketenangan yang cukup tinggi, malah tidak pernah takut untuk mengelecek bola untuk melepasi pemain lawan. Dia juga berjaya mencatat 'assist' untuk gol Safawi Rasid petang tadi. Selepas melihat impak pemain muda Kedah ini tadi, penulis berpendapat Akhyar wajar diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama apabila Malaysia turun menentang Jordan, Sabtu ini.

DOMINIC DAN IFWAT GUGUP

Dua pemain yang nampak sedikit gugup dalam perlawanan tadi adalah Dominic Tan dan penjaga gol, Ifwat Akmal. Sedikit aneh untuk OKS meletakkan Dominic dalam kesebelasan utama Malaysia kerana dia jarang diturunkan oleh JDT sepanjang 2017. Dan perlawanan ini membuktikan bahawa Dominic masih belum menyesuaikan diri dengan tahap bolasepak di peringkat antarabangsa. Dari satu sudut, perlawanan ini sedikit sebanyak akan menjadi pengalaman yang berharga untuk perkembangan karier Dominic. Dari sudut yang lain pula, wajarkah untuk OKS mengambil risiko yang tinggi dalam kejohanan besar seperti ini? Ifwat juga tidak begitu selesa di gawang gol Malaysia dan sepatutnya tidak membenarkan Iraq menjaringkan gol kedua mereka.

GOL ATAU TIDAK?

Pada minit ke-87, Malaysia hampir mengurangkan defisit sekali lagi sebelum penjaga gol Iraq menepis keluar bola. Pada mulanya, nampak seperti bola tersebut gagal melepasi garisan gol. Namun, berdasarkan ulang tayang di FoxSports, bola tersebut nampak seperti sudah melepasi garisan gol. Cuma, sudut kamera ulang tayang tersebut tidak begitu meyakinkan. Cuba anda lihat gambar di atas dan kongsikan pendapat anda di laman Facebook kami!