Baihakki Khaizan telah membuat keputusan untuk menolak tawaran Kuala Lumpur untuk menyertai kelab gergasi Thailand, Muangthong United.
Bintang Singapura itu sepatutnya menandatangai kontrak satu tahun bersama Kuala Lumpur selepas dia turut menolak tawaran Jeddah Club di Arab Saudi. Namun, Muangthong membuat tawaran di saat akhir dan berjaya meyakinkan pemain itu untuk berpindah ke Thailand.
“Baihakki memberitahu kami hari ini dia tidak akan menyertai KL selepas menerima tawaran saat akhir untuk bermain bersama Muangthong. Tarikan untuk bermain di Liga Juara-Juara mungkin terlalu bagus untuk ditolak,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa kepada Arena Metro.
“Tetapi keputusannya meletakkan kami dalam situasi yang sukar kerana tidak banyak pilihan yang ada dalam kelompok pemain ASEAN di bahagian pertahanan tengah,” tambah beliau.
Musim lepas, Baihakki beraksi bersama Warriors FC di S.League namun dia pada mulanya dikaitkan dengan Jeddah Club selepas melalui sesi ujian bersama mereka ketika mengerjakan umrah di Arab Saudi bersama keluarganya.
Menurut pelbagai laporan, Baihakki berjaya menarik perhatian pihak pengurusan Jeddah dan menerima tawaran kontrak empat bulan daripada kelab tersebut. Walau bagaimanapun, dia menolak tawaran tersebut.
Sekiranya perpindahan Baihakki ke Muangthong disahkan, dia mungkin diturunkan dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia menentang JDT, yang bakal berlangsung pada 23 Januari.