Liga Super Malaysia

Eksklusif: Baihakki teruja sertai Muangthong, ucapkan terima kasih kepada KL

Bintang bolasepak Singapura, Baihakki Khaizan telah mengesahkan bahawa dia akan menyertai Muangthong United untuk musim 2018 selepas mendapat tawaran daripada kelab Thailand itu malam semalam.

Bekas pemain JDT itu sepatutnya tiba di Malaysia hari ini untuk menandatangani kontrak bersama Kuala Lumpur FA, namun Bai mengubah fikirannya selepas menerima panggilan daripada pihak pengurusan Muangthong.

“Saya cukup teruja diberi peluang menyertai Muanthong. Sebenarnya, saya sudah mula mengemas barang untuk bertolak ke KL, sebelum saya menerima panggilan daripada wakil Muangthong malam semalam,” ujar Baihakki kepada Football Tribe.

“Skuad mereka cukup berkualiti jadi saya tahu bukan mudah untuk saya beraksi dalam kesebelasan utama dengan serta merta. Buat masa sekarang, saya perlu sabar. Bila peluang tersebut tiba, saya akan beri yang terbaik untuk membantu rakan sepasukan dalam apa-apa kapasiti,” tambah Baihakki.

Kredit Foto: Fox Sports Asia

Pemain pertahanan itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Kuala Lumpur yang memahami keputusannya untuk menolak tawaran mereka di saat terakhir.

“Percayalah, tawaran Muangthong memberi dilema yang cukup besar kerana saya sudah menerima tawaran kontrak Kuala Lumpur ketika itu. Tetapi, saya akhirnya buat keputusan untuk menerima tawaran Muangthong kerana saya sedar bukan mudah untuk menerima peluang seperti ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Kuala Lumpur yang memahami situasi saya dan membolehkan perpindahan ini,” kata bekas bintang LionsXII itu,

Penghijrahan Baihakki ke Muangthong bermakna empat pemain Singapura, termasuk Izwan Mahbud, Hassan Sunny dan Zulfahmi Ariffin, akan beraksi di Liga Thailand untuk musim 2018. Manakala, enam lagi pemain Singapura, termasuk Hariss Harun, Madhu Mohana dan Safuwan Baharuddin, akan bermain di Liga-M sepanjang 2018.

Kredit Foto: TNP

Di mata Baihakki, fenomena ini merupakan berita positif untuk bolasepak Singapura dan dia berharap ia akan membantu skuad kebangsaan Singapura bangkit semula sebelum Piala AFF Suzuki pada hujung tahun ini.

“Skuad kebangsaan Singapura bergelut dengan prestasi sepanjang 2017, dan rekod kami juga agak mengecewakan. Walau bagaimanapun, lebih daripada 10 pemain Singapura akan bermain di liga luar negara tahun ini dan saya berharap perkara ini boleh mencetus kebangkitan kami di peringkat antarabangsa,” kata Baihakki.

Sebelum ini, Baihakki turut menerima tawaran daripada kelab Arab Saudi, Jeddah Club selepas menarik perhatian pihak pengurusan ketika sesi ujian bersama mereka, bulan lepas. Namun, Baihakki akhirnya menolak peluang tersebut kerana kontrak yang ditawarkan hanya untuk tempoh empat bulan sahaja.