Malaysia Liga Super Malaysia

FMLLP umumkan jadual rasmi Liga Super dan Liga Premier 2018

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP) hari ini telah mengeluarkan jadual rasmi 12 perlawanan pertama Liga Super dan Liga Premier untuk musim 2018.

Liga Premier akan bermula pada 1 Februari manakala sepak mula Liga Super pula akan berlangsung dua hari selepas itu pada 3 Februari. Pada hari tersebut, pertembungan di antara JDT dan Kedah akan turut menentukan juara Piala Sumbangsih 2018.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FMLLP, jadual ini dibina selepas mengambil kira enam faktor berbeza, termasuk  jadual-jadual pertandingan antarabangsa seperti Liga Juara-Juara Asia, Piala AFC, Sukan Asia dan juga SUKMA 2018. Selain itu, faktor perkongsian stadium, hak penyiaran dan juga tempoh perjalanan dan rehat pasukan turut memberi impak terhadap dalam proses membina jadual ini.

Sila rujuk ‘slideshow’ di bawah untuk jadual 12 perlawanan pertama Liga Super dan Liga Premier.

Berikut adalah beberapa nota rumusan berkenaan jadual rasmi Liga Super dan Liga Premier yang dipetik daripada kenyataan FMLLP.

FORMAT DAN TEMPOH LIGA

22 jumlah perlawanan bagi setiap pasukan (11 perlawanan sebagai tuan rumah manakala 11 perlawanan sebagai pasukan pelawat) dari Februari 2018 sehingga Julai 2018. Liga akan terus berjalan 4 minggu semasa bulan Ramadhan 2018.

TEMPOH PERJALANAN DAN REHAT PASUKAN

Setiap pasukan memperolehi sekurang-kurangnya 2 hari perjalanan dan rehat di antara setiap perlawanan manakala bagi pasukan yang bermain dalam Kelayakan AFC Champions League / AFC Cup 2018 (Johor Darul Ta’zim & Selangor -sekiranya layak), kedua-dua pasukan akan menerima sekurang-kurangnya 2 hingga 3 hari perjalanan dan rehat.

BERMAIN SEBAGAI PASUKAN TUAN RUMAH / PELAWAT

Terdapat pasukan yang bermain sebagai pasukan tuan rumah / pelawat tidak melebihi 2 perlawanan berturut-turut. Walau bagaimanapun sekiranya pasukan tersebut layak bermain di Piala FA, pasukan berkenaan berkemungkinan akan bermain 3 perlawanan berturut-turut sebagai pasukan tuan rumah / pelawat. (Tertakluk kepada keputusan undian Piala FA)

FIFA DAYS, FIFA WORLD CUP 2018, SUKAN ASIA 2018 dan SUKMA 2018

Liga hanya akan berehat semasa tarikh-tarikh FIFA DAYS, manakala semasa FIFA World Cup 2018 (kecuali perlawanan akhir), Sukan Asia 2018 dan SUKMA 2018 berlangsung, liga, Piala FA dan TM Piala Malaysia tetap akan diteruskan.

VENUE BAHARU DAN PERKONGSIAN VENUE

Satu venue baharu bakal digunakan untuk musim 2018 iaitu Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras (Pasukan Kuala Lumpur)

Berikut senarai pasukan yang berkongsi venue untuk musim 2018;

a. Stadium Shah Alam (Pasukan PKNS FC dan Felcra FC)
b. Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. (Pasukan Kuala Lumpur dan PDRM – TBC)
c. Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. (Terengganu FC & Terengganu FC II)
d. Stadium Majlis Perbandaran Selayang (Kuantan FA – TBC & UKM FC – TBC)

Stadium Perak akan ditutup sehingga akhir bulan Mac 2018 untuk proses penyelengaraan dan baikpulih. Pasukan Perak akan bermain di Stadium TLDM, Lumut bagi 2 perlawanan pertama.

Pasukan Selangor (akan membuat pengesahan venue dalam masa terdekat), PDRM, Kuantan FA dan UKM FC sehingga kini masih belum membuat pengesahan venue tuan rumah.

SIARAN LANGSUNG OLEH PENYIAR RASMI

Terdapat perlawanan Liga Super / Liga Premier telah dijadualkan pada setiap hari Jumaat, Sabtu atau Ahad (perlawanan hujung minggu) serta Isnin, Selasa, Rabu atau Khamis (perlawanan pertengahan minggu). Ini bagi membolehkan pemilihan siaran langsung bagi beberapa perlawanan dibuat secara seimbang oleh penyiar rasmi liga.