Malaysia

Ini misi Jorge Pereyra Diaz untuk musim 2018 bersama Johor DT

Anugerah penjaring terbanyak.

Itu misi Jorge Pereyra Diaz bersama skuad Johor DT untuk musim 2018, selepas berjaya meraih gelaran tersebut bersama skuad Southern Tigers pada tahun 2016.

Diaz berjaya meledak 18 kali dalam 22 perlawanan Liga Super pada tahun tersebut, sebelum membuat keputusan untuk berpindah ke Leon di Liga Mexico.

Namun, bekas pemain Independiente akan kembali menyarung jersi JDT tahun ini dan dia tekad mahu membantu kelabnya mencapai kejayaan di Liga Super.

“Saya teruja dapat peluang beraksi untuk JDT sekali lagi. Saya cintakan kelab ini dan saya selesa dengan semua rakan sepasukan,” kata Diaz, menurut laporan The Star.

“Saya mahu menghabiskan musim akan datang sebagai penjaring terbanyak liga, sama seperti 2016. Tetapi, yang lebih penting untuk saya adalah membantu JDT meraih kemenangan dalam semua perlawanan,” tambah Diaz.

Walaupun pernah bermain untuk JDT sebelum ini, musim 2018 akan menyaksikan Diaz bermain di bawah Ulisses Morais buat kali pertama. Dan penyerang yang berasal daripada Argentina itu sudah mula serasi dengan corak taktikal yang diterapkan oleh Morais.

“Saya sudah mula mengenali ketua jurulatih kami. Dia mempunyai sikap yang cukup positif dan sentiasa mahu membantu kami dari segi taktikal. Saya yakin bahawa JDT hanya akan lebih kuat musim akan datang,” tambah Diaz.