Liga Super Malaysia

Pep Guardiola dijangka melawat TMJ dan Johor pada hujung musim ini?

Tidak dapat dinafikan bahawa Pep Guardiola merupakan antara jurulatih yang terbaik dalam arena bolasepak antarabangsa dan mana-mana kelab akan bergembira untuk menerima perkongsian ilmu daripada bekas pemain Barcelona itu.

Dan menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Johor Southern Tigers, sekiranya Pep berjaya meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City musim ini, Johor DT akan diberi peluang untuk menerima ilmu daripada jurulatih yang berjaya memenangi 14 trofi bersama Barcelona.

“Pada 19 Oktober 2016, DYAM Tunku Mahkota Johor berjumpa dengan Pep Guardiola sewaktu perlawanan Manchester City menentang Barcelona di Sepanyol. Pep Guardiola telah menghulurkan tangan berjanji akan datang ke negeri Johor untuk berkongsi idea dan melawat Projek Bolasepak Johor Darul Ta’zim jikalau Manchester City memenangi liga,” kata kenyataan tersebut.

Walaupun Liga Perdana Inggeris hanya berada di separuh jalan, Manchester City jelas menjadi pasukan pilihan untuk menjadi juara. The Citizens sedang menghuni carta EPL dengan 59 mata daripada 21 perlawanan, dan sudah berjaya menjaringkan 61 gol setakat ini.

Perkara yang lebih menakjubkan adalah City masih belum tewas sebarang perlawanan liga musim ini. Hujung minggu lepas, mereka hampir tewas apabila Crystal Palace diberikan sepakan penalti pada penghujung perlawanan. Namun, Ederson berjaya menepis sepakan pemain Palace untuk memastikan skor kekal 0-0.