Liga Super Malaysia

Mario Gomez vs TMJ: Dulu kawan, sekarang lawan

Hari ini, dunia bolasepak Malaysia dikejutkan dengan berita yang cukup aneh.

Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’azim, Mario Gomez mendakwa bahawa bekas majikannya masih belum membayar baki gajinya dari tahun 2016, meskipun dia meninggalkan kelab itu hampir setahun lepas.

Dakwaan tersebut di buat dalam suatu wawancara yang diterbitkan oleh akhbar tempatan, Malay Mail Online dan Gomez, yang baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih Persib Bandung turut mengugut untuk membawa JDT ke mahkamah sekiranya masalah ini berterusan.

“Kami akan berjumpa di mahkamah dalam masa terdekat. Mereka enggan membayar gaji saya. Peguam saya sedang bekerja untuk membawa kes saya ke FIFA,” ujar Gomez kepada Malay Mail.

Namun, ia tidak mengambil masa yang lama untuk JDT mengeluarkan kenyataan reaksi. Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards menempias dakwaan tersebut, sambil memberi penerangan yang cukup komprehensif tentang pertelingkahan yang berlaku di antara mereka dan Mario Gomez.

“Mario Gomez telah membuat kenyataan bahawa JDT berhutang pembayaran gaji kepada beliau. Ini sememangnya tidak benar dan merupakan tindakan tidak sepatutnya dari pihak Encik Gomez. Faktanya ialah sebahagian daripada kontrak Encik Gomez bersama JDT adalah beliau dikehendaki membayar gaji pembantunya, Raul Longhi,” ujar lagenda bolasepak Johor itu.

“Encik Gomez pada mulanya membayar jumlah ini secara terus kepada Encik Longhi dan kemudian beliau meminta setiausaha kelab kami untuk membuat pembayaran terus kepada Encik Longhi. Sejak 2015 JDT telah membayar komponen gaji ini secara terus kepada Encik Longhi daripada gaji Encik Gomez mengikut permintaan khususnya selaras dengan kewajipan dalam kontrak Encik Gomez.

“Encik Gomez juga telah membuat kenyataan palsu bahawa kami tidak menjawab suratnya, kami menerima surat itu dalam bahasa Sepanyol dan telah menjawab dengan sewajarnya. Jangan cuba untuk menipu kerana ini akan menjejaskan karier anda di Indonesia.” tambah Alistair.

Pemilik JDT, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim turut mengeluarkan kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, di mana beliau mencabar Mario Gomez untuk mengheret kelabnya ke mahkamah.

“Teruskan usaha, Mario… $$$, sila bawa saya ke mahkamah kerana saya tidak pernah merasa ke mahkamah dan saya ingin merasainya,” katan TMJ.

Ini merupakan ‘plot twist’ terbaru dalam hubungan Mario Gomez bersama TMJ dan JDT selepas membantu mereka meraih pelbagai kejuaraan dari tahun 2015 hingga 2016. Walaupun berjaya mengemudi pasukan JDT untuk menjuarai Liga Super pada tahun 2016, Gomez dipecat oleh JDT beberapa hari sebelum permulaan musim 2017.

Namun, nama Gomez kembali disebut orang ramai apabila TMJ dilantik menjadi presiden baru Persatuan Bolasepak Malaysia. Dalam sidang media pertama beliau sebagai presiden FAM, Tunku Ismail mendedahkan bahawa Mario Gomez akan dibawa masuk untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia.

Berita tersebut kemudian dinafikan oleh Gomez, sebelum TMJ mendakwa bahawa kedua-dua pihak tidak berjaya mencapai kata sepakat atas isu gaji Gomez. Beberapa minggu selepas itu, Nelo Vingada dilantik sebagai ketua jurulatih Malaysia.

Pada awal bulan lepas pula, Gomez dikaitkan dengan pasukan Kedah. Malah, jurulatih yang berasal daripada Argentina itu mengesahkan bahawa pihak pengurusan Helang Merah ada menyatakan minat untuk membuat tawaran rasmi. Namun, rundingan ini turut gagal sebelum Gomez menerima tawaran untuk mengambil alih pasukan Persib Bandung untuk musim Liga Indonesia 2018.

Apa pandangan anda tentang konflik ini?