Malaysia Berita

Rasmi: Nelo Vingada sah letak jawatan sebagai ketua jurulatih Malaysia

Nelo Vingada telah mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan jawatanya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia dengan serta merta.

Berita ini diumumkan melalui siaran media yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, di mana Vingada berkata bahawa keputusan beliau diambil berdasarkan prestasi skuad kebangsaan dalam lima bulan lepas.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan.

“Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang telah berlaku itu, saya dengan ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta merta dan Tunku Presiden sendiri turut telah menerima keputusan yang saya buat ini,” kata Vingada.

Jurulatih yang berasal daripada Portugal itu turut mendedahkan bahawa dua pembantu jurulatih Malaysia juga akan meninggalkan jawatan mereka bersama skuad Harimau Malaya.

“Saya ingin memaklumkan juga bahawa dua pembantu yang saya bawa bersama ke sini iaitu Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa turut bersama melepaskan jawatan mereka, masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.

“Akhir kata pada kesempatan ini, saya berharap dan berdoa agar bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini dan saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian warga bola sepak Malaysia biarpun dalam tempoh masa yang agak singkat ini,” tambah beliau.