Malaysia Liga Super Malaysia

TMJ: Ada konspirasi untuk singkirkan saya daripada FAM

Presiden FAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim telah mendedahkan bahawa terdapat beberapa ‘orang dalam’ yang mahu menyingkirkan beliau daripada kerusi presiden tersebut.

Tunku Ismail membuat kenyataan ini ketika sidang media yang diadakan selepas Kongres Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini. Malah, Tunku Ismail turut mendakwa bahawa konspirasi tersebut juga mahu menjatuhkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

“Bukan sahaja nak singkirkan dia (Kevin), malah ada yang nak singkirkan saya sebagai Presiden FAM. Ramai dalam FAM yang berangan nak jadi presiden. Saya cakap terus terang,” ujar beliau, menurut kata Berita Harian

“Apa yang mereka lakukan dengan meminta media tulis macam-macam dan berharap jika saya dah muak dan akan tinggalkan FAM, maka dapatlah peluang mereka memegang jawatan presiden.

Namun, pemilik Johor DT itu juga bertegas bahawa sebarang usaha untuk menjatuhkannya tidak akan berjaya.

“Ia tidak akan berlaku. Jadi dalam FAM pun ada yang cuba berpolitik, malah yang hendak menaja Liga Malaysia (Liga M) juga ada politik, kononnya hendak buat konsortium sendiri atau syarikat sendiri dan tidak perlu lagi ada FMLLP,” tambah Tunku Ismail.