Liga Super Malaysia

Angers SCO mahu bawa Liridon ke Perancis, Marcote semakin resah

Kelab Liga Perancis, Angers SCO dikatakan berminat untuk membawa bintang Kedah, Liridon Krasniqi ke Eropah untuk baki musim 2017-2018.

Angers, yang sebelum ini pernah menandatangani bekas pemain Pahang, Dickson Nwakaeme, berada di zon penyingkiran Ligue 1 ketika ini dan pihak pengurusan kelab itu mahu Liridon membantu mereka meningkatkan prestasi supaya tidak tersingkir ke divisyen kedua.

Menurut laporan telegrafi.com, Angers bersedia membayar yuran perpindahan RM2.4 juta untuk membawa Liridon ke Perancis dan pemain itu sendiri bakal mengadakan perbincangan dengan ejennya sebelum membuat keputusan.

Manakala, Ramon Marcote jelas semakin resah mendengar spekulasi ini dan dia mahu melihat bintang Kedah itu kekal di Stadium Darul Aman.

“Secara jujurnya, saya masih memerlukan khidmat Liridon kerana kehadirannya akan terus menguatkan pasukan ini seperti beberapa musim sebelum ini. Kita akan cuba menyelesaikan masalah ini jika benar Liridon membuat keputusan meninggalkan pasukan walaupun perkara sebegini adalah di luar jangkaan saya,” ujar Marcote kepada Arena Metro

“Namun, sebagai jurulatih saya memahami keinginan pemain apabila mendapat peluang untuk beraksi dalam salah satu liga terbaik di dunia dan ruang dalam memajukan lagi karier bola sepaknya.

“Saya akan menyokong apa sahaja keputusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung perkara ini tetapi buat masa ini dia masih pemain Kedah. Jadi saya mengharapkan keadaan itu akan terus berkekalan pada musim hadapan,” tambah Marcote.