Liga Super Malaysia

Nguyen Van Quyet bakal dipilih sebagai import ASEAN baru Kedah?

Kedah bakal membawa masuk bintang Vietnam, Nguyen Van Quyet untuk mengisi slot import ASEAN bagi kempen Liga Super Malaysia 2018, menurut laporan Berita Harian.

Walaupun perkara ini tidak disahkan secara langsung oleh pihak pengurusan KFA, namun Datuk Aminudin Omar sempat mendedahkan bahawa mereka sudah memilih untuk mengalihkan fokus terhadap pemain-pemain daripada Thailand, Vietnam dan Myanmar.

Keputusan tersebut dibuat selepas melihat isu yang sedang dialami oleh Selangor dengan dua bintang Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.

“Disebabkan wujudnya masalah perhubungan membabitkan pemain dari Indonesia maka kita beralih kepada calon dari negara Thailand, Vietnam atau Myanmar,” ujar Datuk Aminuddin Omar kepada Berita Harian.

“Perkara ini akan kita umumkan apabila proses dan persetujuan antara kedua-dua pihak selesai dan dari segi pemilihan saya masih menunggu isyarat dari ketua jurulatih untuk memaklumkan siapa yang terkini beliau tengah runding yang kemungkinan pemain di posisi tengah.”

Selain mengekalkan Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva, Kedah sudah membawa masuk dua lagi pemain import, iaitu Alvaro Silva dan Pablo Pallares. Namun, Nguyen Van Quyet, antara pemain yang tersenarai dalam pilihan 20 pemain terbaik di Asia Tenggara, dikatakan menjadi sasaran utama mereka untuk melengkapkan senarai pemain import buat musim baru.

Van Quyet, yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan Hanoi FC, merupakan antara pemain tengah yang disanjungi di Vietnam. Musim lepas, dia berjaya mencatat tujuh ‘assist’, selain turut memainkan peranan yang cukup besar dalam membantu skuad kebangsaan Vietnam layak ke Piala Asia 2019.