Pertembungan dua pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris iaitu Liverpool menentang Manchester City pasti akan mencuri perhatian pada hujung minggu ini sebelum berehat bagi memberi laluan kepada saingan perlawanan antarabangsa minggu depan.
Matlamat berbeza bagi kedua-dua pasukan yang mana menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp masih belum mencatat kekalahan dan kekal rekod bersih di gelanggang sendiri manakala anak buah Pep Guardiola kekal dalam usaha mengutip mata selepas mencatat dua kekalahan sebelum ini.
Namun, pemain tumpuan FPL minggu ini tidak berapa fokus kepada pemain-pemain Liverpool dan Manchester City. Antara pasukan yang giat mengutip mata dalam liga ialah bekas juara tahun 2015, Leicester City dan Chelsea. Pemain-pemain daripada kedua-dua pasukan ini turut memberikan mata yang agak tinggi kepada pemilik pasukan FPL.
Tiga pemain yang dipilih pada minggu ini adalah berdasarkan prestasi dalam tiga perlawanan sebelum ini. Jamie Vardy, Christian Pulisic, dan John Lundstram adalah tiga pemain yang akan menjadi pilihan bagi perlawanan liga minggu ini.
Jamie Vardy
Penyerang England telah mengutip 34 mata dalam tiga perlawanan sebelum ini. 20 mata dalam satu perlawanan merupakan rekod tertinggi buat Vardy pada musim ini iaitu ketika Leicester City membelasah Southampton 9-0. Leicester akan melayan kunjungan Arsenal di gelanggang sendiri pada minggu ini. Berdasarkan rekod lima perlawanan di stadium sendiri, Vardy berjaya menyumbang 40 mata kepada pengurus pasukan FPL. Rekod baik ini pasti menjadi hujah kuat bagi semua pengurus FPL untuk memilihnya sebagai ketua pasukan.
Christian Pulisic
Nama pemain penyerang Chelsea ini mula menjadi tumpuan apabila mencipta hatrik pertamanya ketika membantu The Blues membenam Burnley 4-2. Kecemerlangan pemain antarabangsa Amerika Syarikat ini pada aksi menentang Watford minggu lepas terus meyakinkan para pengurus FPL untuk mendapatkan khidmatnya. Antara pemain yang memiliki harga mampu milik, pemain ini dijangka akan konsisten menjelang pertemuan menentang Crystal Palace di Stadium Stamford Bridge.
John Lundstram
John Lundstram merupakan nama yang paling popular dalam FPL buat masa ini ekoran persembahan cemerlang yang dipamerkan bersama Sheffield United. Dua gol yang dijaringkan pada minggu lepas ketika menumpaskan Burnley menjadi titik tolak buat semua pengurus FPL meletakkannya sebagai pemain utama. Antara pemain bahagian pertahanan yang memperoleh mata tertinggi buat masa ini dengan jumlah kutipan sebanyak 68 mata secara keseluruhan. Walaupun akan bertemu Tottenham Hotspur, prestasi Sheffield United yang sukar diramal ini pasti akan terus membuat kejutan. Sebelum ini, Sheffield pernah mengikat Chelsea 2-2 di Stamford Bridge.