Liga Super Malaysia Berita

Empat jurulatih tempatan dan luar negara dalam radar Selangor

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenal pasti empat calon yang berpotensi untuk dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, senarai calon berkenaan melibatkan jurulatih tempatan dan asing.

“Setakat ini, kita ada empat calon terdiri daripada jurulatih tempatan dan luar negara. Kita kena lihat dulu semua yang kita ada…tidak semestinya kena lantik jurulatih luar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat bengkel tiga hari bermula Sabtu lepas bagi membincangkan hala tuju FAS.

Mengulas mengenai jurulatih sedia ada, Nazliazmi Nasir, Johan berkata jurulatih berkenaan sudah melakukan tugas dengan baik, namun beliau masih memerlukan masa untuk mencapai kematangan untuk menjadi jurulatih yang sesuai untuk mengemudi Selangor.

Sebelum ini, di bawah bimbingan Nazliazmi, Selangor tewas 0-2 kepada Pahang pada perlawanan akhir Piala FA dan menamatkan saingan liga musim ini di tangga kelapan.

Tambah Johan, meskipun Nazliazmi menerima tekanan daripada dalam dan luar, beliau melakukan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan membawa pasukan kendaliannya mara ke final Piala FA selain mengekalkan kedudukan Selangor dalam Liga Super.

Dalam pada itu, Johan berkata FAS bercadang mewujudkan pusat latihan lebih baik di Selangor bagi melatih pemain untuk mengembalikan kekuatan skuad berkenaan pada saingan liga musim depan.

“Pengurusan baharu FAS juga akan melakukan beberapa penambahbaikan berteraskan kepada lima komponen utama termasuk menambah baik struktur organisasi dan tadbir urus serta kemudahan infrastruktur,” katanya. – BERNAMA