Piala FA Berita

Final Piala FA 2022: Terengganu lawan JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil 10 Sept ini

Stadium Nasional Bukit Jalil telah dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022 di antara Terengganu dan Johor Darul Ta’zim pada 10 September ini jam 9.00 malam.

Ini susulan permohonan MFL mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia hari ini selepas MFL serta pihak pengurusan Terengganu dan JDT telah membuat pemeriksaan teliti mengenai keadaan padang stadium itu bagi final edisi ke-32 Piala FA.

Ini meskipun stadium itu ditutup bagi sebarang aktiviti bola sepak bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang.

“Pihak MFL sudah mengadakan perbincangan dengan wakil perbadanan stadium sebelum ini untuk memeriksa serta mendapat maklumat terkini mengenai keadaan padang,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.

“Kami kami dimaklumkan bahawa SNBJ bersedia untuk menjadi venue perlawanan akhir Piala FA kali ini.”

Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan padang stadium tersebut menjadi kontroversi sebelum ini.

“Kami mendapat jaminan bahawa mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.”

Stuart menjelaskan, bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen-elemen seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam, ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan untuk puluhan ribu peminat yang akan berada di stadium, sokongan dan bantuan pihak berkuasa tempatan juga diambil kira.

Katanya, pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran perlawanan akhir ini.

“Buat masa ini, Stadium Nasional Bukit Jalil satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan.

“Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium.

“Selain itu, MFL juga telah menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos lalu bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang untuk perlawanan akhir nanti.

“Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik.

“MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan dan kita sedia maklum bahawa stadium ini memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini.”

Dalam pada itu CEO PSM, Faidz Sanusi memberi jaminan Stadium Nasional berada pada tahap terbaik.

“Dalam memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA itu, sudah pasti pihak PSM akan mengambil langkah-langkah tertentu dalam memastikan fasiliti-fasiliti di stadium di tahap terbaik termasuk juga keadaan padang.

Sejak penganjuran pusingan kelayakan Piala Asia Jun lalu, padang stadium ini sudah tidak digunakan untuk sebarang aktiviti bola sepak dan dalam masa ke semasa kita akan menjalankan kerja-kerja penjagaan padang menjelang perlawanan akhir itu nanti.”

Sementara itu, MFL menjelaskan, 10 September 2022 dipilih sebagai tarikh perlawanan akhir Piala FA 2022 kerana faktor tertentu.

Mengikut perancangan awal, MFL ingin mengadakan aksi final itu pada 27 Ogos, namun mengambil kira penglibatan JDT di Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 bertemu kelab Jepun, Urawa Reds bagi pusingan 16 pasukan terbaik pada 19 Ogos 2022, maka perubahan tarikh terpaksa dilakukan.

Jika JDT berjaya mengatasi Urawa Reds, mereka akan beraksi di suku akhir pada 22 Ogos 2022 manakala separuh akhir pada 25 Ogos 2022.

Justeru, MFL menetapkan tarikh final Piala FA pada 10 September 2022 bagi memastikan semua perancangan dan persediaan yang diperlukan untuk kedua-dua pasukan yang mengambil bahagian di dalam perlawanan akhir tersebut dan juga semua organisasi dan agensi berkaitan yang terlibat dalam pengelolaan perlawanan akhir Piala FA lebih jelas dengan tarikh yang diputuskan.

Malah, Terengganu dan JDT bersetuju untuk perlawanaan akhir Piala FA pada 10 September 2022.

Mengenai penjualan tiket final Piala FA 2022, MFL akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan Terengganu dan JDT terlebih dahulu sebelum hebahan dilakukan dalam waktu terdekat ini.