Malaysia Berita

Pemain naturalisasi: FAM tidak mahu Malaysia jadi seperti Timor Leste

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan terburu-buru untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi kerana tidak mahu pelaksanaannya mengundang masalah.

Katanya, FAM kini masih lagi di peringkat awal untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi program pemain naturalisasi.

“Perkara ini masih di peringkat awal, kita belum tahu lagi pemain negara mana kita akan ambil, umur pemain, bagaimana kita akan laksanakan kerana pelbagai aspek perlu diteliti.

“Kita mahu menubuhkan satu jawatankuasa khas di mana saya akan menjadi pengerusinya. Ia akan dianggotai pakar-pakar dalam bola sepak, pegawai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Dalam Negeri, wakil AFC dan beberapa agensi lain untuk kita bincangkan mengenai perkara ini.

“Mungkin ia akan ambil masa, tapi biar lambat asal selamat kerana kita tidak mahu ada kecacatan dalam pelaksanaannya,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau mengulas mengenai peringatan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung kesan buruk pemain naturalisasi jika FAM tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh FIFA.

Ini terjadi ke atas Persekutuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) kerana didapati bersalah memalsukan dokumen 12 pemain Brazil untuk mewakili negara itu pada Januari tahun lalu.

Berdasarkan peraturan FIFA, seseorang pemain luar layak mewakili pasukan kebangsaan jika menetap sekurang-kurangnya lima tahun di negara itu selepas berusia 18 tahun atau memiliki pertalian darah di negara berkenaan.

Atas kesalahan itu, FFTL tidak dibenarkan untuk bertanding di Piala Asia 2023 serta didenda AS$20,000 manakala 29 perlawanan antarabangsa mereka dibatalkan.

Yusoff berkata, meskipun akan mengambil masa, beliau percaya pengambilan pemain naturalisasi bagi skuad kebangsaan tetap akan dilaksanakan.

“Kita sedar mengenai implikasi buruk jika tidak mematuhi peraturan sebab itu kita mahu melalui proses yang betul walaupun ia akan mengambil masa untuk mendapatkan pemain naturalisasi terbaik bagi mewakili skuad kebangsaan,” katanya.