Malaysia Piala Malaysia

Selepas tewas kepada Terengganu, Kuala Lumpur rehatkan Fabio Maciel

Nampaknya jodoh Fabio Maciel di Kuala Lumpur tidak panjang.

Selepas berjaya membawa Kuala Lumpur menjuarai Liga Premier pada musim lalu dan mengekalkan mereka di Liga Super musim ini, jurulatih berasal dari Brazil itu dilaporkan telah menjadi mangsa baru ‘rehat’ Liga Malaysia.

Ekoran kekalahan memalukan 1-5 kepada Terengganu FC dalam perlawanan pertama Piala Malaysia pada hari Sabtu yang lalu, Fabio dikhabarkan telah direhatkan dan tempatnya akan digantikan dengan penolong ketua jurulatih, Chong Yee Fatt.

Fabio menjadi mangsa keenam jurulatih yang direhatkan musim ini, mengikut jejak langkah Ramon Marcote (Kedah), Sathit Bensoh (Kelantan), Azraai Khor (Negeri Sembilan), P. Maniam (Selangor) dan Eduardo Almeida ( Melaka United).

Maciel mengambil alih kerusi kejurulatihan Kuala Lumpur daripada Wanderley Junior musim lalu yang dikatakan tidak mempunyai lesen yang diiktiraf. Di bawah kendalian Fabio musim ini, Kuala Lumpur merupakan pasukan kedua terbanyak menjaringkan gol dalam aksi Liga Super, tetapi juga merupakan pasukan paling banyak bolos.