Liga Super Malaysia Berita

Liridon Krasniqi akui kerja buruh kasar sebelum jadi bintang bolasepak

Liridon Krasniqi mengakui beliau menjalani kehidupan yang cukup sukar sebelum menceburi karier bola sepak profesional.

Dalam temuramah yang disiarkan oleh kelab pinjamannya iaitu Newcastle Jets, pemain berusia 29 tahun itu berkata beliau pernah bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan sebelum menjadi pemain bola sepak.

Katanya, beliau mengambil pekerjaan itu demi menyara keluarganya yang berasal dari Kosovo.

Walaupun terpaksa bekerja berjam-jam di tapak pembinaan, beliau tetap meluangkan masa berlatih demi mengejar impiannya.

“Ketika muda, saya banyak menghabiskan masa di jalanan. Cuba membantu keluarga,” katanya.

“Saya berlatih sendiri. Tidak kira hujan, salji atau ribut, saya tetap berlatih.

“Saya berlatih keras kerana saya tahu masanya akan tiba.”

Liridon memulakan karier remajanya di akademi 1860 Munich, Bayern Munich dan FC Nurnberg di Jerman.

Namun, beliau gagal mendapatkan sebarang kontrak profesional bersama kelab Jerman, malah hanya sempat beraksi untuk tempoh singkat bersama kelab Republik Czech, Mlada Boleslav.

Walaubagaimanapun, Liridon akhirnya dapat memulakan karier profesionalnya dengan lancar di Turki apabila ditawarkan untuk menyertai Ankaraspor dan beliau menyerlah ketika dipinjamkan ke kelab divisyen kedua Turki, Fethiyespor.

Prestasinya menarik perhatian Kedah yang ketika itu dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe.

Boleh dikatakan Liridon membuat keputusan yang terbaik dalam hidupnya apabila menyertai Kedah pada 2015, kerana sepanjang tiga musim bersama pasukan itu, beliau tampil sebagai antara pemain import cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.

Prestasinya turut menarik perhatian pelbagai pihak dan mahu mendapatkan khidmatnya, namun beliau membuat keputusan untuk menyertai JDT pada hujung tahun 2019.

“Beraksi di Malaysia pun sudah cukup jauh dari rumah saya. Saya tidak pernah menjangkakan akan pergi lebih jauh dari itu.

“Saya sifatkan tempoh di Malaysia sangat berjaya. Saya benar-benar jatuh cinta dengan negara ini.”

Disebabkan itu, Liridon membuat keputusan untuk menjadi warganegara Malaysia pada tahun lalu dan layak untuk mewakili skuad kebangsaan pada pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun nanti.