Malaysia Berita

Malaysia B-23 sudah bersedia untuk Sukan Asia-Ong Kim Swee

Meskipun tewas di tangan China B-23, jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menganggap pasukannya sudah bersedia dan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya setakat ini.

Katanya, tempoh latihan selama seminggu sebelum ini menghasilkan perkembangan positif meskipun masih ada kelemahan ketara yang perlu diperbaiki.

“Saya rasa satu permainan yang baik untuk aksi pertama kami bermain bersama selepas Januari lalu. Selepas seminggu latihan, pemain nampak cukup baik pada babak pertama tapi kami gagal melakukan penyudah dengan baik.

“Dalam separuh masa kedua, kami beri ruang yang terlalu banyak kepada China dan mereka memanfaatkannya. Tapi secara keseluruhan banyak peningkatan dipamerkan.

“Walaubagaimanapun, kami masih ada 10 hari lagi untuk persiapan sebelum perlawanan pembukaan Sukan Asia,” katanya kepada Berita Harian.

Malaysia terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Akhyar Rashid membuka tirai jaringan pada minit ke-14.

Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli menjatuhkan Deng Hanwen mengundang padah apabila China dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan penyerang, Zhang Yuning pada minit ke-38 sebelum Chen Zhechao meledak gol kemenangan pada minit ke-53.

Pada Sukan Asia, Malaysia akan membuka kempen bertemu Kyrgyzstan pada 15 Ogos sebelum bertemu juara bertahan, Korea Selatan pada 17 Ogos di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung dan aksi terakhir menentang Bahrain pada 20 Ogos di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang.