Malaysia Liga Super Malaysia

Tiga pasukan Liga Malaysia yang mungkin boleh disertai Ronaldinho

Lagenda bolasepak Brazil, Ronaldinho dalam lawatannya ke Malaysia baru-baru ini menyatakan bahawa dia bersedia untuk beraksi di Liga Malaysia tanpa sebarang bayaran. Disebabkan kenyataan tersebut, terus banyak spekulasi timbul mengenai pasukan-pasukan di Liga Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmat bekas bintang Barcelona dan AC Milan itu. Ini tiga pasukan yang mungkin sesuai buat pemain tersebut jika dia beraksi di Malaysia.

 

Johor Darul Ta’azim (JDT)

 

Memang mustahil jika nama sebesar Ronaldinho ini tidak dikaitkan dengan pasukan seperti JDT. Pablo Aimar, Daniel Guiza dan Luciano Figueroa antara nama besar yang pernah mewakili JDT. Bayangkan gandingan Safiq, Natxo dan Ronaldinho di bahagian tengah JDT, pastinya lagi banyak piala yang akan dimenangi. Johor juga mempunyai pulau dan pantai yang cantik jika pemain Brazil itu rindukan suasana pantai di Brazil serta berjiran dengan Singapura jika dia mahu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. JDT ada mengumumkan bahawa pemain import baru mereka nanti berasal dari Brazil. Mungkinkah Ronaldinho pemain itu?

 

Pahang

Kredit Foto: Pahang FA

Kecederaan Forkey Doe membuatkan Pahang terpaksa mencari pemain import baru. Ronaldinho walaupun bukan seorang penyerang tetapi kelincahannya mungkin boleh membuka ruang buat Patrick Cruz menjaringkan gol. Dengan pemain seperti Nor Azam Azih dan Safuwan Baharudin untuk mengejar bola, Ronaldinho boleh menyimpan tenaganya untuk fokus di bahagian serangan. Oh ya, Pahang juga ada pulau dan pantai yang sesuai dan jika tidak dekat sahaja untuk Ronaldinho ke Terengganu untuk ke Pulau Redang atau Perhentian.

 

Kuala Lumpur

Kuala Lumpur tiada pantai kecuali Pantai Dalam yang bukanlah pantai sebenarnya. Tetapi, lokasi Kuala Lumpur yang merupakan ibu kota, lambakan restoran Brazil dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh menjadi tarikan buat Ronaldinho. Kuala Lumpur dikhabarkan mahu menggugurkan seorang pemain import mereka dan mencari pemain import lain. Pasti menarik jika boleh melihat gandingan Ronaldinho, Paulo Josue dan Guilherme De Paula bersama skuad City Boys. Mungkin Ronaldinho boleh mengajar De Paula untuk lebih tenang. Biarpun ada yang akan menyatakan Ronaldinho tidak akan menyertai kelab yang kekurangan penyokong, tetapi dengan kehadiran Ronaldinho, mungkin lebih ramai warga Kuala Lumpur akan membanjiri Stadium Bolasepak Kuala Lumpur nanti.