Asia Berita

The Jakmania sedia cipta suasana getir buat JDT di Gelora Bung Karno

Tidak kira sama ada pasukan negara atau kelab, Indonesia mempunyai barisan penyokong yang cukup fanatik. Dalam aksi liga, kelab-kelab seperti Persija Jakarta, Persib Bandung, PSS Sleman, Persebaya Surabaya dan banyak lagi mempunyai kumpulan penyokong yang cukup hebat hinggakan sorakan mereka bergema di dalam stadium Satu perkara yang cukup menakutkan bagi pasukan lawan dari negara lain yang bertandang ke stadium di Indonesia.

Itulah yang bakal menunggu Johor Darul Ta’azim di Stadium Gelora Bung Karno dalam aksi Piala AFC bertemu Persija Jakarta.

Kumpulan penyokong Persija, The Jakmania sememangnya terkenal dengan menghidupkan atmosfera yang cukup menggerunkan pihak lawan dalam perlawanan Persija.

Ketua pasukan Persija, Ismed Sofyan sememangnya berharap sokongan The Jakmania akan memberikan motivasi buat dia dan rakan sepasukannya dalam perlawanan itu nanti.

“JDT sememangnya mempunyai pengalaman beraksi di Piala AFC. Namun, sekarang mereka akan beraksi di hadapan The Jakmania. Ini pastinya tidak mudah buat mereka. Tapi bagi kami, ia sebaliknya kerana sokongan mereka akan memberikan motivasi kepada pemain Persija untuk memperoleh kemenangan dalam perlawanan tersebut.”

Tiga pemain JDT, Fadhli Shas, S. Kunanlan dan ketua pasukan Safiq Rahim pastinya sudah tahu dengan betapa fanatiknya penyokong di Indonesia selepas beraksi untuk Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno ketika perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2010.

Pengalaman mereka berdepan penyokong fanatik di Indonesia perlu digunakan sebaiknya untuk membantu rakan-rakan sepasukan mereka bertenang dan tidak terganggu dengan provokasi yang mampu mengganggu tumpuan dan mental mereka nanti.

Setakat ini penyokong Persija telah mencipta rekod kehadiran tertinggi ke stadium dalam kancah Liga 1 Indonesia. Namun, diberitakan bahawa bagi perlawanan menentang JDT esok, rekod itu akan sekali lagi dipecahkan.