Liga Super Malaysia Berita

Putrajaya FC di Liga Malaysia musim depan? Ini jawapan Putrajaya FA

Presiden Persatuan Bolasepak Putrajaya (Putrajaya FA), Ahmad Faisal Abdul Karim tampil memberikan penjelasan terhadap khabar angin berhubung penubuhan pasukan Putrajaya FC yang akan bersaing di Liga Malaysia musim depan.

Ini selepas Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa menjadi individu pertama yang mendedahkan perkara tersebut di akaun Twitter miliknya.

“Berhubung ciapan Menteri Wilayah yang tular baru-baru ini, Putrajaya FA ingin menegaskan bahawa badan ini tidak mendapat sebarang gambaran yang jelas serta tidak dimaklumkan apa-apa berkenaan kemungkinan
Putrajaya bakal mempunyai pasukan sendiri dan bermain di Liga Malaysia,” kata Faisal dalam kenyataan.

“Putrajaya FA mempunyai kelab-kelab gabungan di bawahnya. Setiap keputusan yang Persatuan ambil mestilah melalui proses-proses yang telah dipersetujui oleh ahli jawatankuasa dan mengambil kira pandangan kelab-
kelab gabungan.”

Bagaimanapun, Faisal mengalu-alukan pihak yang ingin membangunkan bolasepak di Putrajaya.

“Namun yang demikian, sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab membangunkan sukan bolasepak di Putrajaya, persatuan sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak untuk bekerjasama supaya agenda pembangunan sukan bolasepak di Putrajaya dapat terus dijayakan.”