Liga Super Malaysia Berita

Gol Pertama Lonjak Motivasi Shakir Bertemu Perak

Shakir Hamzah tidak menyembunyikan perasaan gembira beliau apabila berjaya menjaringkan gol pertama buat pasukan barunya Kedah ketika menentang PKNP FC minggu lalu.

Pemain import kelahiran Singapura tersebut berharap agar gol pertama beliau buat pasukan Kedah bakal menjadi pemankin semangat untuk beliau terus memberi aksi yang terbaik buat pasukan.

“Seumur hidup, saya belum pernah jaringkan gol pada perlawanan pertama awal musim, ini kali pertama saya beraksi dalam Liga M bersama Kedah dan jaringan ini memberi saya suntikan motivasi yang lebih kuat untuk aksi seterusnya.

“Apa yang saya fikiran adalah mahu beri aksi yang terbaik dan pastikan Kedah mendapat kemenangan.

“Saya menganggap setiap gol dan peluang yang kita dapat itu adalah rezeki dan saya juga menghargai setiap sokongan penuh semangat daripada penyokong Kedah yang hadir.”

Beliau turut mengulas lanjut mengenai perlawanan esok menentang pasukan Perak.

“Persediaan dengan Perak kita akan kekal dengan fokus, disiplin, perancangan serta taktikal yang akan diaturkan oleh ketua jurulatih.

“Kita akan beraksi dengan satu hati seperti kita tunjukkan dalam perlawanan pertama menentang PKNP FC minggu lalu dengan penuh harmoni. .InsyaAllah kita mampu capai kemenangan,” katanya yang menyifatkan keserasiannya bersama rakan sepasukan terutama di bahagian pertahanan semakin baik.

“Saya masih dalam proses belajar dan saya juga belum mencapai tahap 100 peratus kerana kita masih di awal musim jadi saya perlu terus belajar dan memahami corak permainan rakan sepasukan,” katanya kepada Berita Harian.