Liga Super Malaysia Berita

JDT bantu mangsa banjir di Melaka, Selangor, Pahang

Walaupun Liga Malaysia musim 2021 sudah berakhir dengan kebanyakan pasukan bercuti ketika ini, kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim mengambil langkah proaktif apabila turut sama membantu mangsa banjir di beberapa negeri sepanjang minggu ini.

Gerakan proaktif itu merupakan hasil usaha sama menerusi Yayasan JDT, Boys Of Straits (B.O.S) dan Southern Volunteers.

“Mereka telah memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku dan membantu di pusat pemindahan sementara di kawasan-kawasan yang terlibat di Melaka, Selangor dan Pahang,” menurut Johor Southern Tigers.

Gerakan ini juga selaras dengan titah Tunku Mahkota, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahukan bantuan segera diberikan kepada mereka.

Berikutan banjir yang melanda beberapa negeri, Yayasan JDT telah pun melaksanakan Misi Bantuan Bencana kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) dan organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) kepada mereka yang terjejas akibat bencana banjir dibeberapa kawasan.

“Kebajikan penduduk di kawasan berisiko tinggi perlu diberikan lebih perhatian bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan apabila bencana berlaku,” kata kenyataan rasmi Yayasan JDT.

“Yayasan JDT komited dalam menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi fokus kepada bidang kebajikan bagi meringankan beban rakyat yang memerlukan.

“Pelaksanaan program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan akan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang terjejas selari dengan teras penubuhan Yayasan JDT.”

Diharapkan usaha ini menjadi contoh kepada kelab bola sepak lain di negara ini, bukan sahaja berperanan sebagai sebuah kelab sukan semata-mata tetapi juga menjadi sebuah institusi yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh mana-mana pihak.