Malaysia Berita

Kim Swee Pening Kepala Bila Ada Pasukan Yang Tidak Mahu Lepaskan Pemain

Masalah sama bakal berlaku kepada jurulatih Bawah 23 tahun negara apabila segelintir pasukan Liga Super tidak bersedia untuk melepaskan pemain mereka menjelang kejohanan Piala AFF B-22 tahun yang bakal berlangsung di Kemboja pada 18 Feb nanti.

Terbaru, pertahanan kanan Selangor, Syahmi Safari dikhabarkan tidak dibenarkan oleh pengendali skuad Red Giants untuk menyertai latihan pusat.

Bagi pengendali skuad muda negara, beliau memahami situasi terbabit dan mengharapkan kedua-dua pihak dapat mencapai kata sepakat.

“Saya faham keadaan kelab-kelab ini. Jurulatih mahu pemain terbaik kerana liga sedang berlangsung, “kata Kim Swee.

“Saya akan berikan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan. Sebagai ketua jurulatih, saya mahukan pemain ini kerana ini adalah tugasan terakhir sebelum kelayakan AFC.

“Saya memilih Syahmi kerana dia serba boleh dan dia boleh bermain dalam dua kedudukan. Saya mahu melihat sama ada pemain tengah baru boleh bermain dengannya di tengah dan kejohanan ini adalah yang terbaik untuk menilai kemampuan pasukan.

“Saya berada dalam keadaan ini selama bertahun-tahun. Saya tahu kejohanan ini berada di luar kalendar FIFA. Saya harap kita semua boleh mencapai kata sepakat, “katanya.

Bagi pengendali Selangor, B. Sathianathan, Syahmi merupakan pemain utama pasukan Selangor dan dia tidak mahu kehilangan pemain itu pada permulaan musim Liga Super.

Beliau juga turut menyatakan bahawa akan melepaskan pemain jika kejohanan itu adalah sebahagian daripada kalender FIFA.

Memetik kata-kata beliau kepada The Star, “Ia bukan keputusan saya untuk tidak melepaskannya tetapi juga keputusan pihak pengurusan. Mereka menyedari bahawa ia adalah tempoh penting dan kami memerlukan semua pemain terbaik, “kata Sathianathan.

“Kami hanya akan melepaskannya (Syahmi) jika kejohanan yang dipanggilnya adalah sebahagian daripada kalendar FIFA.

“Kejohanan AFF adalah di luar kalendar FIFA.” Katanya

Kim Swee sebelum ini mengumumkan 26 pemain untuk latihan pusat bagi mempersiapkan pasukan dalam menghadapi kejohanan tersebut.

Selain Syahmi, pemain yang dipanggil untuk latihan berpusat ialah Dominic Tan Jun Jin (Johor Darul Ta’zim); Daniel Amier Norhisham, Zahril Azri Zabri (Felda United); Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan) dan Jafri Firdaus Chew (PKNS).