Malaysia Berita

Penyerang Muda Negara Mula Langkah Kanan

Hadi Fayyadh Abdul Razak, pemain pertama negara yang beraksi secara profesional di Jepun, mula menunjukkan kemampuan beliau.

Beliau yang mewakili Fagiona Okayama, pasukan divisyen dua Liga Jepun (J2) berjaya menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Universiti Kansai Fukushi di Osaka minggu lalu.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada yang bertanggungjawab membawa Hadi ke Jepun.

Dikhabarkan juga cuaca sejuk sehingga mencecah -3 darjah celcius tidak menghalang anak kelahiran Malaysia ini untuk mencetak gol serta memberi aksi yang terbaik buat pasukan.

Memetik kata-kata beliau kepada Berita Harian, “Hadi menghubungi saya selepas aksi terbabit dan memaklumkan saya mengenai jaringan terbabit.

“Walaupun ia hanyalah aksi persahabatan pramusim namun saya melihat kejayaan ini sebagai permulaan yang cemerlang untuk Hadi.

“Hadi juga dilihat dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan di Jepun apabila dapat bermain dengan baik dalam persekitaran yang sungguh mencabar untuknya.

“Kami gembira dengan apa yang ditunjukkan olehnya dan kami berkongsi kejayaan terbabit. Semoga dia terus konsisten apabila saingan liga bermula nanti,” katanya.

Sebelum ini, penyerang bawah 19 tahun Harimau Malaya, Hadi Fayyadh Abdul Razak, mencipta sejarah dengan menjadi pemain Malaysia pertama yang menyertai pasukan J-League 2 (Liga J2).