Luar Negara

Bekas penyerang Manchester City teruja diberi peluang beraksi di J.League

Bekas penyerang Manchester City, Jo telah secara rasmi meninggalkan Corinthians untuk menyertai Nagoya Grampus buat kempen J.League tahun ini.

Berita ini disahkan melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab Jepun itu hari ini. Jo berkata bahawa dia tidak sabar untuk menyarung jersi Grampus dan mahu membantu kelab barunya meraih piala musim ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab ini dan para penyokong kerana memberikan saya peluang baru ini. Saya cukup teruja untuk menyertai Grampus dan saya akan turut beri aksi terbaik di atas padang untuk memenangi piala buat penyokong kelab ini,” kata Jo.

Pemain yang berusia 30 tahun ini mula terkenal apabile dia menyertai Manchester City pada tahun 2008. Dia kemudiannya dipinjamkan ke Everton dan Galatasaray, sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Brazil bersama Internacional pada tahun 2011.

Jo berhijrah ke Atletico Mineiro pada tahun 2012 dan kekal di sana sehingga tahun 2015, sebelum menceburi kancah bolasepak Asia bersama Al Shabab. Dia menjaringkan 8 gol dalam 13 penampilan bersama kelab Arab Saudi itu – rekod yang akhirnya membawa Jo ke Jiangsu Suning di China.

Namun, selepas satu musim di China, Jo berpindah ke Corinthians di Brazil, di mana dia berjaya menjaringkan 25 gol sepanjang musim 2017.