Kolum Futsal

Wanita dan bola sepak, sehari bersama dengan Steffi Sarge Kaur

Steffi Sarge Kaur tidak pernah memasang impian untuk menjadi salah seorang pemain futsal kebangsaan dan lebih meminati bidang pramugari daripada sukan futsal.

Lahir daripada keluarga sukan, permulaan beliau dalam sukan bola sepak bermula pada waktu kecil ketika sering mengikuti ayahnya bermain bola di sebelah petang. Pada ketika itu, Steffi hanya menjadikan sukan bola sepak sebagai hobi sahaja.

Di sekolah, beliau lebih terkenal sebagai pemain hoki dan telah ditawarkan untuk menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil. Tetapi hajatnya untuk menyertai SSBJ terkendala akibat perkara-perkara yang beliau tidak dapat elakkan.

Ubat kepada kekecewaan tersebut hadir pada tahun 2006 apabila beliau berjaya mewakili Perak dalam sukan bola sepak selepas berjaya melepasi proses pemilihan untuk Sukan Wanita 2006. Beliau yang ketika itu tinggal di Taiping, tanpa berfikir panjang meneruskan impian beliau untuk berjaya di dalam sukan ini.

“Itulah kejohanan pertama yang saya sertai dan disitulah saya membeli kasut bola pertama saya,” kata beliau ketika ditemui di Stadium Majlis Subang Jaya, semalam.

“Selepas sahaja Sukan Wanita, saya dapat panggilan untuk menyertai skuad negara dalam aksi Piala AFC 2006, di mana waktu itu kita tuan rumah.

“Kami ditempatkan di salah satu kem di Kuala Pilah selama sebulan bagi menjalani latihan untuk kejohanan Piala AFC, di mana kami di undi bersama-sama dengan Australia, Jordan dan China,”

Wanita dan Bola

Pada kejohanan tersebut, Malaysia tidak bermain dengan baik apabila tewas ketiga-tiga perlawanan dan menduduki tangga terakhir kumpulan.

Biarpun gagal melepasi peringkat kumpulan, ia adalah pengalaman berharga buat Steffi dan bagi beliau ia adalah satu permulaan dalam mengembangkan sukan bola sepak wanita yang selama ini banyak di dominasi oleh lelaki.

Seperti rakan-rakan yang lain, Steffi juga akui terdapat beberapa kritikan pada permulaan karier beliau sebagai seorang pemain.

“Ada yang kata kita layak duduk dekat dapur, ada juga yang kata kita patut buat kerja lain.” Katanya dengan nada ketawa sebelum menyambung, “Tetapi dalam sukan ini, tiada istilah – permainan ini hanya untuk lelaki sahaja.

“Saya percaya, jika anda bagus dan mampu untuk lakukan apa yang orang lain katakan tidak. Itulah adalah perkara yang paling bernilai kepada anda.

“Kerana wanita yang yakin, kuat dan setiasa berusaha akan menemui diri mereka setanding dengan para pemain bola sepak lelaki dan malah mampu mencabar lebih.” katanya.

Stiga Masyarakat dan penyelesaian.

Selama beliau menyarung jersi kebangsaan, Steffi telah berjaya membawa Malaysia ke Kejohanan Futsal Wanita Dunia dua kali dan meletakkan Malaysia di tangga ke-10 pada tahun pertama Malaysia menyertai kejohanan terbabit.

Dalam masa yang sama, Steffi turut mewakili Malaysia dalam tiga saingan Sukan Sea pada 2007 di Thailand dalam sukan bola sepak, manakala pada 2013 beliau berjaya memenangi gangsa dalam kategori futsal di Sukan Sea 2013 di Myanmar dan terakhir adalah dua tahun lalu di Kuala Lumpur, di mana beliau berjaya menduduki tempat ke empat dalam bagi futsal.

“Masalah kita pada permulaannya adalah stigma masyarakat yang masih memandang rendah pada kaum wanita. Penerimaan masyarakat pada waktu itu tidak meluas.

“Tetapi lain pula sekarang, selepas beberapa tahun, kita sudah nampak perkembangan yang positif.

“Kita boleh lihat perkembangan ini semakin baik dan semua orang boleh menerima wanita bermain bola sepak atau futsal.”

Dalam masa yang sama, beliau turut memberi cadangan agar semua media tempatan agar terus memberi sokongan kepada wanita yang aktif bersukan dan menjadikan sukan sebagai kerjaya mereka.

“Media perlu memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran kepada semua orang bahawa wanita juga mampu berjaya.”