Liga Super Malaysia Berita

Selangor vs Kedah – Farhan tekad mahu teruskan aksi kemenangan

Pemain kelahiran Kedah, Farhan Roslan yakin dengan kemampuan para pemain Lang Merah dalam menyerap asakan Selangor pada perlawanan Liga Super malam ini di Stadium Shah Alam.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Messi Kedah’ yakin dengan motivasi yang diperoleh ketika mendapat kemenangan dalam saingan Liga Super dan Piala FA minggu lalu bagi membenam pasukan Selangor.

“Kebangkitan Kedah layak ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan PKNS FC minggu lalu juga menjadi suntikan motivasi untuk semua pemain dalam meneruskan misi mencari kemenangan seterusnya.

“Saya berharap semua pemain dapat mengekalkan rentak kemenangan yang ada dan terus fokus mengikuti semua perancangan yang dilakukan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak.

“Kedah perlu mengambil kesempatan terhadap tahap konsisten yang ditunjukkan kini dan pungutan tiga mata di Stadium Shah Alam esok sangat diperlukan kerana saingan di kelompok teratas Liga Super kini semakin sengit.” Katanya kepada BH Sukan.

Farhan yang berusia 22 tahun sebelum ini gagal memberi aksi yang terbaik buat pasukan Kedah selepas terpalit dengan isu kecederaan musim lalu.

Tapi untuk musim ini, beliau telah banyak membantu pasukan Kedah dan beberapa gerakan beliau telah mencipta gol kemenangan.

“Kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih Aidil Sharin kepada saya dalam beberapa perlawanan musim ini memberi peluang untuk saya melonjakkan diri ke peringkat yang lebih meyakinkan.

“Saya berazam tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan kepada saya dalam usaha memberi aksi terbaik pada setiap perlawanan musim ini.”