Liga Super Malaysia Berita

Bintang muda Kedah ini mahu beri cabaran kepada pemain import

Di kala Liga Super Malaysia menerima kritikan hebat atas keputusan untuk meningkatkan kuota pemain asing, penyerang muda Kedah, Zafuan Azeman tekad mahu memberi saingan sengit kepada penyerang import dan membuktikan bahawa penyerang tempatan mampu pamer aksi yang cemerlang.

Bekas penyerang Perlis itu telah menetapkan sasaran gol untuk musim depan dan berpendapat bahawa sasaran tersebut akan membantunya meningkatkan kualiti persembahan di Liga Super musim depan.

“Saya bertekad untuk buktikan pemain tempatan mampu menyaingi import dan saya letakkan tanda aras di situ sebagai sasaran untuk meningkatkan prestasi saya,” ujar Zafuan kepada Arena Metro.

“Saya juga meletakkan sasaran peribadi iaitu menjaringkan 11 gol untuk saya capai pada aksi Liga Super yang persaingannya lebih tinggi berbanding aksi di Liga perdana musim lalu ketika saya bersama skuad Perlis.

“Jika musim lalu saya mampu menjaringkan enam gol, jadi pada musim 2018 saya berharap dapat meningkatkan lagi jumlah jaringan walaupun berdepan cabaran dan saingan yang lebih hebat berbanding di Liga Perdana,” tambah Zafuan.

Musim lepas, Zafuan berjaya menjaringkan enam gol untuk Perlis, walaupun skuad Singa Utara menghabiskan 2017 sebagai pasukan tercorot dalam Liga Perdana Malaysia.