Kelab gergasi J.League, Sanfrecce Hiroshima telah secara rasmi membuat tawaran kepada Muangthong United untuk tujuan membawa bintang Thailand, Teerasil Dangda ke Jepun.
Perkara ini disahkan oleh pihak pengurusan Muangthong sendiri, menurut laporan sahabat kami di Football Tribe Thailand. Wakil Sanfrecce Hiroshima membuat tawaran tersebut di ibu pejabat kelab Muangthong hari ini dan kelab Thailand itu dikatakan puas hati dengan tawaran itu.
Namun, keputusan rasmi hanya akan dibuat setelah mereka menjalankan perbincangan rasmi dengan Teerasil Dangda, yang masih bercuti di Sepanyol ketika ini.
Sekiranya dia bersetuju untuk menerima tawaran itu, penyerang yang berusia 29 tahun itu akan menyertai Chanatip Songkrasin sebagai pemain Thailand kedua di J.League.
Teerasil merupakan pemain Asia Tenggara pertama yang beraksi di La Liga apabila dia menyertai Almeria SC secara pinjaman dari Januari 2014 hingga Januari 2015.
Dia juga merupakan seorang ikon lagenda di Muangthong. Sejak menyertai mereka pada tahun 2009, Teerasil telah berjaya membuat 257 penampilan dan menjaringkan 116 gol.