Liga Super Malaysia Berita

Tiga pemain JDT bakal dipinjamkan kepada kelab Portugal

Johor Darul Ta’azim telah mengumumkan bahawa mereka bakal menjalinkan kerjasama rasmi dengan sebuah kelab Portugal dalam beberapa hari akan datang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers, kerjasama itu akan membuka pintu untuk JDT menghantar tiga pemain muda ke Portugal untuk menimba pengalaman.

Syamer Kutty, yang baru sahaja dibawa daripada Penang FA, merupakan calon utama untuk dihantar ke Portugal, manakala dua lagi pemain yang mungkin dihantar adalah Hasbullah Awang dan juga Syafiq Ahmad.

“Satu kerjasama antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab bolasepak di Portugal telah dipersetujui di mana JDT dapat menghantar tiga pemain setiap tahun ke sana untuk bermain bersama kelab tersebut sebagai pemain pinjaman. Nama kelab tersebut akan didedahkan sebaik sahaja pihak pengurusan menandatangani kontrak secara rasmi,” kata kenyataan tersebut.

Syamer Kutty merupakan antara pemain muda yang paling disanjungi di Malaysia. Selepas berjaya diterapkan ke dalam skuad utama pasukan Penang musim lepas, Syamer turut menunjukkan persembahan yang cantik apabila bermain dengan skuad B-23 tahun Malaysia.

Dia berjaya membantu Malaysia melayakkan diri ke Piala AFC B-23 tahun, selain turut memainkan peranan yang penting apabila skuad Datuk Ong Kim Swee berjaya mara ke final Sukan SEA pada bulan Ogos lepas.