Liga Super Malaysia Berita

JDT akan menghidupkan semula jentera serangan Diaz-Figueroa untuk musim 2018

Johor DT telah mengesahkan bahawa dua bekas pemain mereka, Jorge Pereyra Diaz dan juga Luciano Figueroa akan kembali beraksi bersama mereka untuk musim 2018.

Ini merupakan berita yang agak mengejutkan kerana Figueroa membuat keputusan untuk bersara daripada bolasepak pada penghujung tahun 2015, manakala Diaz pula meninggalkan JDT pada hujung tahun lepas selepas bertelingkah dengan pihak pengurusan.

Namun, kedua-dua pemain akan kembali menyarung jersi Southern Tigers untuk musim 2018, sekaligus menghidupkan semula jentera serangan yang membantu mereka meraih kejuaraan Liga Super pada tahun 2015.

“Saya ingin mengucapkan selamat kembali Luciano Figueroa ke dalam skuad kami untuk musim 2018. Beliau adalah lagenda kami dan juga duta kelab kami. Ia adalah satu penghormatan atas kehadirannya bersama kami,” kata Pengarah Sukan JDT, Martin Prest.

“Pengalaman dan kerja keras beliau akan menjadi contoh kepada semua pemain kami. Beliau telah bekerja keras mengembalikan kecergasannya dengan kami sejak beberapa bulan lalu, dan terus bekerja keras di Argentina,” tambah Prest. 

JDT turut mengumumkan bahawa Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra akan dilepaskan untuk musim 2018. Kedua-dua pemain berjaya menjaringkan 33 gol untuk JDT, sepanjang musim 2017.