Liga Super Malaysia Asia

Pahang tolak tawaran menyertai Piala AFC untuk musim 2018

Pahang telah secara rasmi menolak tawaran untuk bermain di pertandingan Piala AFC untuk musim 2018 atas sebab mahu memberi perhatian penuh kepada Liga Domestik Malaysia.

Pengumuman ini dibuat oleh Pahang FA melalui akaun rasmi Facebook mereka hari ini, dan berita ini turut disahkan oleh Football Malaysia LLP. Berikut adalah kenyataan penuh Pahang FA:

“Dengan ini, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang ingin menjelaskan bahawa Persatuan Bolasepak Negeri Pahang telah ditawarkan untuk menyertai Pertandingan Piala AFC 2018 melalui surat FAM bertarikh 9 November 2017.”

“Walaubagaimanapun, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang telah menolak untuk menyertai Pertandingan Piala AFC 2018 melalui surat bertarikh 14 November 2017. Ini adalah untuk memberikan sepenuh perhatian kepada Liga Domestik Malaysia.”

Berita ini menimbulkan masalah kerana keputusan Pahang untuk menolak peluang ini bermaksud bahawa AFC akan menarik slot tersebut daripada Malaysia untuk diberikan kepada negara lain di Asia Tenggara. Jadi, harapan penyokong Malaysia untuk menyaksikan dua pasukan tanah air di pentas Piala AFC mungkin sudah terkubur.