Malaysia Berita

Penamatan Kontrak MFL,TM Keputusan Bersama Bukan Individu

Penamatan kontrak di antara MFL dan Telekom Malaysia (TM) telah menjadi satu isu yang besar buat landskap bola sepak negara.

Kontrak perjanjian bernilai RM480 juta telah di tandatangani oleh kedua-dua pihak pada Januari 2018 sepatutnya berakhir pada 2025 telah ditamatkan oleh MFL selepas badan induk tersebut mendakwa TM gagal memenuhi beberapa kewajiban sebagai penaja rasmi.

TM turut mengeluarkan satu kenyataan balas dengan menafikan dakwaan MFL bahawa mereka tidak memenuhi beberapa kriteria kontrak tersebut. Malah dalam kenyataan terbabit mereka mendakwa bahawa kedua dua pihak – MFL dan TM – gagal untuk bersetuju pada satu terma yang telah ditetapkan.

Permasalahan yang membabitkan kedua-dua pihak ini hanya mampu diselesaikan jika ianya dibawa ke mahkamah.

‘Keretakan hubungan’ antara kedua-dua pihak ini jelas telah menjadi isu hangat dan membawa perspektif yang tidak baik buat MFL dan TM. 

Ia juga telah dibincangkan secara meluas oleh pengguna media sosial sehingga ia menjadi isu peribadi apabila ada segelintir pihak cuba untuk menuding jari dan mendakwa keputusan penamatan kontrak ini datang daripada individu tertentu.

Selepas beberapa minit kenyataan TM dikeluarkan, salah seorang pengguna Twitter telah mencadangkan satu teori bahawa TM telah mengeluarkan dana RM60 juta untuk membayar MFL pada musim lalu.

Perkara itu terus disangkal oleh Tunku Ismail menerusi laman Twitter miliknya dengan meminta pengguna tersebut untuk tidak membuat andaian sendiri yang memburukkan MFL.

“Tak payah la jadi batu api & blame MFL. Why would a company pay RM60mil if tak ada contract? Our job is to jaga the interest of all participating teams.” Kata Tunku Ismail di laman Twitter miliknya.

Selain daripada itu, Tunku Ismail turut mengingatkan beliau agar tidak menjadikan masalah peribadi di antara individu terbabit dan CEO MFL, Kevin Ramalingam sebagai jalan untuk beliau mencari salah badan induk tersebut.

Apa yang jelas mengenai isu yang membabitkan MFL dan TM adalah keputusan penamatan kontrak ini dibuat oleh badan korporat dan bukannya dibuat oleh individu tertentu.