Liga Super Malaysia Berita

Presiden PBSNT Puji Anak Buah Irfan Bakti

Peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh Terengganu FC (TFC) mendapat pujian daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

TFC yang dikendalikan oleh Irfan Bakti Abu Salim berada di tangga ke enam dengan mencatat sembilan mata di belakang Melaka United apabila merekodkan satu kekalahan dalam lima perlawanan terakhir mereka.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbetulkan, beliau percaya dengan kombinasi daripada pemain lama dan baharu bakal menjadikan TFC antara pencabar liga untuk musim ini.

Memetik kata-kata beliau kepada Arena Metro, “sebelum ini saya memang ada bertemu dengan ketua jurulatih, (Irfan Bakti) dan beliau ada memberi beberapa maklum balas kepada saya berkaitan dengan perkembangan terkini pasukan.

“Walaupun kita berdepan dengan sedikit cabaran, tapi oleh kerana kita masih lagi di peringkat awal, kita akan cuba memanfaatkan sepenuhnya pemain yang ada terutama pemain import dari Uzbekistan, (Sanjar Shaakhmedov) untuk membantu meningkatkan mutu persembahan pasukan.

“Setakat enam perlawanan yang dilalui secara keseluruhannya sudah ada peningkatan dan semakin baik, apa yang kita harapkan momentum itu dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya bagi mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) yang disasarkan,” kata Dr Ahmad Samsuri ketika ditemui selepas Anugerah Sukan Terengganu (AST), 2018 di Dewan Arena Stadium Tertutup di Gong Badak malam tadi.

Beliau juga menyatakan bahawa jurulatih dan pemain perlu diberi masa untuk memperbaiki beberapa kelemahan.

“Bagi membiasakan kombinasi itu dan untuk mendapat rentak yang baik sudah semestinya memerlukan sedikit masa, ini yang sedang diperbaiki oleh barisan jurulatih dan pihak pengurusan pasukan,” ujar Dr Ahmad Samsuri.