Kolum

Temubual Eksklusif : Protap FC, Kelab Kecil Dengan Impian Yang Besar

Protap FC adalah salah satu pasukan daripada liga sosial yang telah banyak mencipta kejutan. Kejayaan manis buat pasukan ini adalah mereka akan bersaing pada pusingan kedua Piala FA menentang UKM FC. Selain daripada itu, pasukan kecil dengan impian yang besar ini turut mempunyai impian untuk mencabar Liga M3 yang disertai mereka musim ini.

Bagaimana boleh tertubuhnya Protap FC?

Protap FC bermula pada akhir 2017, kami merancang untuk menubuhkan satu pasukan, mengumpulkan semula pemain-pemain. Permulaanya kami menubuhkan satu badan pengurusan dan merancang untuk menyertai satu liga sosial di Damansara pada masa itu. Kami memanggil semua rakan-rakan yang pernah beraksi untuk Liga IPT, skuad Piala Presiden dan beberapa pasukan lain. Liga pertama yang kami sertai adalah Klang Valley League 2017, Division 1 dan syukur kami muncul juara dan terus melayakkan diri ke Selangor Champion League pada 2017. Di SCL kami hanya mampu bertahan di peringkat kumpulan dan gagal layak ke pusingan seterusnya. 

Apakah cabaran paling besar selama penubuhan Protap FC?

Pertama, kewangan. Apabila berada di liga sosial, kewangan bukanlah satu isu yang besar disebabkan kos bermain di liga sosial tidak tinggi. Kos pada waktu itu hanya  melibatkan bayaran padang dan juga pengadil. Berbeza pula dengan sekarang, di mana kami bakal bermain di Liga M3 dan ia memakan kos yang sangat tinggi. Kedua, semangat pemain yang terlalu tinggi. (ketawa) Syukur, di dalam Protap FC kami dapat tanamkan sifat sayangkan pasukan. Pemain bukanlah sekadar bermain bola untuk pasukan tetapi mereka juga menjaga satu sama lain. Masalah akan hadir apabila kami perlu memilih 18 orang untuk satu pasukan. Bila kita buka senarai pemain untuk bermain pada perlawanan tertentu. Kadang-kadang sehingga 28 orang yang mahu bermain dan menjadi menjadi cabaran untuk kami apabila terpaksa ketepikan yang lain.

Apakah kenangan paling manis selama mengurus Protap FC?

Untuk diri sendiri, ini adalah pencapaian peribadi tertinggi buat saya. Ia adalah satu kepuasan untuk membawa Protap FC bermain di pusingan pertama Piala FA menentang UKM FC kerana ia adalah satu pencapaian yang tidak boleh dilupakan. Kedua, dapat bermain di Liga M3 atau liga divisyen tiga di bawah Liga Perdana dan Liga super adalah satu pengalaman yang berharga.

Selama penubuhan Protap FC, pasti ramai pemain silih berganti dan mungkin juga ada beberapa pemain yang telah berpindah ke pasukan lain. Siapakah pemain yang paling bernilai pernah beraksi bersama Protap FC?

Razzmir Ashraff, beliau adalah penjaring terbanyak di dalam saingan M5 (Shah Alam League). Tetapi agak kecewa apabila pada perlawanan terakhir liga bersama Protap FC beliau mengalami kecederaan ACL. Beberapa minggu lepas beliau baru selesai melakukan pembedahan dan terpaksa diketepikan sehingga penghujung musim. Kita berharap agar dia cepat sembuh dan kembali membarisi pasukan. Selain daripada itu, Wafaa Hapis dan Anwar Luqman. Mereka adalah dua pemain yang telah menjadi tulang belakang buat pasukan dan antara nama yang membawa pasukan ini sehingga berada di kedudukan sekarang.

Sebagai pengurus pasukan, adakah anda pernah merancang untuk membawa Protap FC ke satu peringkat yang lebih tinggi?

Kita dalam perancangan tetapi mempunyai kekangan dalam mencari penajaan disebabkan kami adalah pasukan yang beraksi di liga sosial yang tidak dikenali orang. Ia sebenarnya mempengaruhi penaja untuk menaja kami disebabkan pasukan kami kecil dan tidak mempunyai penyokong. Tetapi dengan landasan yang ada sekarang dan pertolongan daripada MFL serta promosi pasukan yang bertanding di dalam M3 dan Piala FA, ia serba sedikit dapat mengubah persepsi masyarat bahawa kami juga mampu untuk berada di satu peringkat yang tinggi dan boleh dikembangkan.

Jika Protap FC di beri satu bantuan kewangan yang melebihi satu juta, apakah yang Protap FC akan lakukan?

Pertama, setiap kewangan yang diberi kami akan simpan untuk tiga tahun akan datang. Kenapa kita pecahkan tiga adalah pada tahun pertama kita membina satu tapak. Kedua adalah pengurusan, kita ada impian untuk meningkatkan fasiliti latihan kami. Ketiga adalah kami inginkan hasil itu kembali, kita tidak boleh hanya memandang pada rancangan jangka pendek. Tahun pertama kita merancang, tahun kedua kita gerakkan apa yang kita rancangkan dan tahun ketiga adalah kita dapatkan kembali apa yang telah kita rancang sebelum ini.

Siapakah pemain bintang yang anda mahu lihat beraksi bersama Protap FC?

Saya bukan tidak memandang pemain bintang tetapi misi utama Protap FC adalah untuk melahirkan bintang. Sebelum ini ada beberapa pemain yang datang dari Piala FAM atau pasukan-pasukan yang lain. Tetapi pada permulaan penubuhan Protap FC lagi kami telah nyatakan yang kami mahu membentuk pasukan yang melahirkan bintang. Untuk rekod, kami tidak mempunyai pemain import dalam pasukan kerana tidak mahu lari daripada objektif kami untuk melahirkan pemain tempatan yang baik.

Protap FC akan berjumpa dengan pasukan liga perdana, UKM FC pada perlawanan Piala FA nanti. Bagaimana dengan persedian pasukan?

Kami sudah menjalani latihan lima atau empat kali seminggu bagi persedian fizikal dan mental ketika bertemu UKM FC nanti. Persedian ini adalah secara menyeluruh bagi saingan Piala FA dan Liga M3. Kami akan cuba sehabis baik dan membarisi semua pemain kami.

Sejauh mana Protap FC mahu melangkah di dalam kejohanan Piala FA?

Secara jujurnya, kami hanya sasar untuk mara ke pusingan pertama. Tetapi sekarang kami berjaya mara lebih jauh sampai ke pusingan kedua dan bakal berjumpa dengan pasukan yang beraksi di Liga Perdana. Ia adalah satu penghormatan dan satu pencapaian tertinggi untuk pasukan. Walaupun kami bakal berlawan dengan satu pasukan yang bagus daripada segi pemain, jurulatih dan pengurusan. Kami akan cuba memberi tentangan kepada UKM FC kerana kami hadir ke sini bukan untuk menjadi pasukan belasahan.

Apakah harapan pada Protap FC?

Kami akan cuba mempersiapkan diri bagi saingan Piala FA dan Liga M3. Kami tidak mahu menjadi pasukan yang tidak memberi saingan. Ia adalah satu tanggapan dan pandangan yang salah kerana kami hadir untuk memberi saingan kepada setiap pasukan yang bertanding.