Liga Super Malaysia AFC Cup

Kedah bakal terlepas slot AFC Cup 2018

Juara Piala FA 2017, Kedah dilanda malapetaka apabila berdepan dengan masalah pembayaran gaji bekas jurulatihnya yang masih tertunggak hingga kini. Masalah itu menyebabkan slot AFC Cup 2018 mungkin akan diberikan kepada pasukan lain.

David Mitchell, yang pernah melatih Kedah pada tahun 2014 membawa kes tunggakan gajinya kepada FIFA selepas Kedah gagal membayar pampasan gaji sebanyak AS$100 00 (RM430 000) selepas dipecat pada bulan April 2014.

FIFA mengarahkan Kedah membuat pembayaran segera kepada Mitchell tetapi Kedah masih belum menyelesaikan pembayaran tersebut. Pemintaan ini dibuat oleh peguam Mitchell dan tarikh akhir pembayaran telah pun tamat.

Peraturan AFC menetapkan kelab yang layak ke mana-mana kejohanan AFC mesti menyelesaikan isu kewangan yang tertunggak sebelum tarikh tutup iaitu pada 31 Ogos 2017.  Kegagalan berbuat demikian bermakna mereka tidak layak beraksi dalam saingan kelab-kelab asia itu.

“Kami cuba membayar kepada beliau melalui wakilnya bulan lepas,” kata setiausaha KFA, Datuk Aminuddin kepada ESPN FC.

“Kami telah terima arahan dari FIFA tetapi ada masalah transaksi untuk memindahkan wang kepada wakilnya. Kami masih berhutang gaji lima hingga enam bulan dan berhasrat untuk membayarnya serta sedang menyelesaikan masalah itu”

David Mitchell berharap agar pengurusan pasukan liga Malaysia akan lebih sistematik dan tersusun.

“Bola sepak Malaysia ini ada ramai pemain yang bagus dan mempunyai ramai penyokong tetapi banyak wang dibazirkan secara sia-sia,” katanya kepada ESPN.

“Saya sedih melibat kelab yang hebat seperti Kedah akan tersingkir dari saingan Piala AFC jika mereka tidak menyelesaikan isu ini, saya tidak mahu itu tetapi amat menyedihkan jika itu yang berlaku,” katanya.