Malaysia

“Kami perlu pertahankan maruah Iraq” – Safa Hadi tekad mahu tewaskan skuad OKS

Bintang Iraq, Safa Hadi berpendapat bahawa dia dan rakan sepasukannya mempunyai tanggungjawab penting untuk menewaskan Malaysia dan meraih tiga mata penting demi mempertahankan maruah Iraq di pentas kejohanan AFC B-23 tahun.

Iraq pernah memenangi kejohanan ini pada tahun 2014, sebelum merangkul tempat ketiga pada tahun 2016. Dan bagi pemain Al Zawraa ini, rekod tersebut bermaksud Iraq perlu memulakan kempen mereka dengan nada yang positif.

“Sebagai pemain, kami mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan maruah dan sejarah Iraq sebagai bekas juara kejohanan ini dan juga sebagai pasukan yang berjaya layak ke sukan Olimpik,” kata Safa kepada laman web rasmi AFC.

“Buat masa sekarang, kami hanya memikirkan perlawanan pertama menentang Malaysia kerana kami mahu menewaskan mereka dan memulakan kempen kami dengan positif.

“Saya akui bahawa kami tidak mempunyai info yang banyak tentang skuad Malaysia ini, tetapi saya yakin jurulatih kami telah mengkaji corak permainan mereka dengan teliti sebelum membina pelan taktikal untuk perlawanan ini,” tambah Safa.

Perlawanan di antara Iraq dan Malaysia akan berlangsung di Stadium Changshu pada jam 4.00 petang esok. Foxsports akan menyediakan siarang langsung perlawanan tersebut untuk para penyokong di Malaysia.