Asia AFC U23 Championship

Piala AFC B-23: Skuad Ong Kim Swee berjaya ikat Jordan 1-1

Skuad B-23 tahun Malaysia menunjukkan tahap kematangan yang cukup tinggi apabila berjaya seri 1-1 menentang Jordan petang tadi.

Ward Al Barri membuka tirai jaringan pada minit ke-16 untuk memberi kelebihan 1-0 kepada Jordan, namun Malaysia berjaya bangkit menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-43, melalui sepakan penalti Safawi Rasid.

Jordan terus menekan dan cuba meletakkan tekanan ke atas pertahanan Malaysia pada babak kedua, namun Haziq Nadzli bangkit membuat beberapa tepisan yang penting untuk memastikan skor perlawanan kekal 1-1.

Skuad Ong Kim Swee juga tidak menunjukkan sebarang ketakutan untuk menyerang, dan hampir mendapatkan gol kedua mereka pada pertengahan babak kedua. Namun, percubaan Akhyar Rashid malangnya terkena tiang gol.

Beberapa minit selepas itu, bek kanan Malaysia, Matt Davies turut hampir menjaringkan gol tetapi sekali lagi, tiang gol menjadi penghalang.

Pasukan lawan meningkatkan tempo perlawanan pada minit-minit terakhir, namun barisan pertahanan Malaysia, yang diketuai oleh Adam Nor Azlan, berjaya mengekang kemaraan penyerang Jordan, sekaligus membantu Malaysia meraih satu mata yang penting.

Keputusan perlawanan ini bermakna Malaysia masih mempunyai peluang untuk mara ke peringkat kalah mati, sekiranya skuad OKS berjaya menewaskan Arab Saudi pada hari Selasa akan datang. Namun, peluang Malaysia masih bergantung kepada keputusan pertembungan di antara Jordan dan Iraq, pada hari yang sama.