Asia AFC U23 Championship

Piala AFC B-23: 5 perkara daripada perlawanan Malaysia-Jordan yang seri 1-1

Jika persembahan Malaysia ketika menentang Iraq dilihat sebagai perkara yang positif, corak permainan Malaysia pentang tadi boleh dikatakan cemerlang kerana mereka berjaya mengikat Jordan 1-1.

Jordan mendapatkan gol pertama pada minit ke-16 akibat kesilapan di bahagian pertahanan Malaysia, sebelum skuad negara bangkit semula dengan gol penyamaan pada minit ke-43, melalui sepakan penalti Safawi Rasid.

Pada babak kedua pula, Jordan mula melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas gawang Malaysia, namun Haziq Nadzli cemerlang menepis segala percubaan tersebut. Anak buah OKS turut mempunyai dua peluang untuk menjaringkan gol kedua, namun percubaan Akhyar dan Matt Davies dihalang oleh tiang gol.

Namun akhirnya, skor 1-1 kekal sehingga penghujung perlawanan dan ini bermakna Malaysia masih mempunyai harapan untuk mara ke peringkat kalah mati, bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir menentang Arab Saudi dan juga pertembungan di antara Iraq dan Jordan.

Berikut adalah lima perkara yang kami lihat ketika perlawanan petang tadi:

CORAK PERMAINAN YANG BERANI

Salah satu perkara yang peminat bolasepak Malaysia tidak suka lihat dalam skuad kebangsaan adalah corak permainan yang defensif. Namun petang tadi, skuad OKS menunjukkan tahap keinginan yang tinggi dan corak pemainan yang berani, walaupun berdepan dengan pasukan yang lebih berkualiti. Betul, kita perlu sedar bahawa kebolehan pemain kita tidak boleh dibandingkan dengan pemain-pemain dari Timur Tengah. Walau bagaimanapun, keyakinan yang ditunjukkan oleh nama-nama seperti Safawi dan Akhyar layak dipuji kerana ia menunjukkan bahawa kita mampu bersaing di pentas antarabangsa jika pemain dan jurulatih kita sanggup mengambil risiko dan tampil berani di atas padang.

AKHYAR RASHID PERLU DIBERI PERHATIAN

Selepas memberi impak yang cukup besar sebagai pemain gantian dalam kekalahan Malaysia di tangan Iraq tempoh hari, Akhyar akhirnya dimasukkan ke dalam kesebelasan pertama untuk perlawanan hari ini. Hasilnya? Bintang muda Kedah itu jelas pemain terbaik Malaysia di atas padang, selain Safawi Rasid dan juga Haziq Nadzli. Aspek yang menjadi Akhyar aset yang penting adalah tahap kreativitinya di atas padang. Dia tidak pernah takut untuk menyerang dan sentiasa kreatif dalam proses mencari rakan sepasukan. Setiap skuad memerlukan sekurang-kurangnya satu pemain seperti ini untuk mendorong seluruh pasukan di bahagian serangan. Bagi Ong Kim Swee dan skuad Malaysia, Akhyar merupakan pemain tersebut.

BAHAGIAN PERTAHANAN MASIH RAPUH

Pujian harus diberikan kepada Dominic Tan, yang nampak lebih yakin dan tenang di atas padang hari ini. Tetapi secara keseluruhan, bahagian pertahanan Malaysia masih nampak sedikit rapuh. Gol yang dijaringkan oleh Jordan adalah contoh yang paling baik, dimana hantaran lintang daripada pemain Jordan berjaya menembus pertahanan Malaysia dengan mudah, sebelum Ward Al Barri meledak dengan tenang untuk membuka tirai jaringan. Ada beberapa lagi situasi di mana pertahanan Malaysia leka, sekaligus memberi ruang kepada Jordan untuk mencuba nasib. Namun, Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan Malaysia dalam situasi-situasi tersebut.

SYAZWAN ANDIK MENYERLAH

Jika Johor DT mempunyai Fazly Mazlan dan Corbin-Ong di bahagian bek kiri, kini mereka mungkin boleh membawa masuk Syazwan Andik daripada skuad JDT II untuk memperkasakan posisi tersebut. Dia bukan sahaja membantu Malaysia di bahagian serangan, namun cukup rajin untuk turun bertahan apabila diserang oleh pemain Jordan. Komitmen tersebut kekal sepanjang 90 minit dan ini bukan suatu perkara yang mudah kerana posisi wing-back sering memerlukan pemain yang berstamina tinggi.

HAZIQ NADZLI > IFWAT AKMAL

Tidak boleh dinafikan bahawa Haziq Nadzli perlu dikenali sebagai penjaga gol utama untuk skuad B-23 tahun Malaysia. Selain gol yang dijaringkan oleh Jordan, Haziq berjaya mengekang harapan pasukan lawan dengan tepisan demi tepisan sepanjang 90 minit perlawanan tadi. Dia bukan sahaja tenang dan matang di atas padang, malah mempunyai visi yang bagus untuk mencari rakan sepasukan melalui sepakan gol atau lontaran terus. Arab Saudi akan memberi cabaran yang sengit pada hari Selasa nanti dan Haziq perlu diturunkan jika Malaysia mahu mencipta kejutan dalam perlawanan tersebut.