Malaysia Berita

David Rowley sanggup pulang semula ke Malaysia walaupun 3 tahun tidak jumpa keluarga isteri

David Rowley mencuri tumpuan apabila beliau menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan walaupun baru sahaja pulang ke Berlin, Jerman untuk bertemu keluarga isterinya tiga hari lalu.

Malah, pemain tengah berusia 32 tahun itu sudah 3 tahun tidak bertemu dengan keluarga isterinya yang berasal dari Jerman, namun beliau mengakui enggan melepaskan peluang untuk beraksi dengan skuad kebangsaan.

“Saya cukup-cukup teruja,” kata Rowley kepada Bernama.

“Saya rasa bangga bila coach Kim Pan-gon panggil saya. Saya cakap of course saya pulang, jadi saya balik ke Malaysia untuk kem latihan.”

Namun, katanya, ketika beliau mendapat panggilan skuad kebangsaan, beliau baru sahaja tiba di Jerman.

“Saya balik Jerman..lepas tiga hari saya cakap kepada isteri saya..maaf saya mesti balik Malaysia. Dia terkejut tapi dia gembira.

“Saya dah tak jumpa keluarga isteri selama tiga tahun, tapi inilah bolasepak.”

Rowley yang beraksi dengan Pahang musim ini menjaringkan 6 gol berharap beliau dapat menyumbang kepada skuad kebangsaan.

“Tahun ini dengan Pahang saya jaringkan enam gol, saya boleh kuasai di bahagian udara, coach Kim tahu, jadi harapnya saya dapat jaringkan melalui situasi bola mati.

“Saya juga mahu bantu pemain muda kerana kita ada banyak pemain muda.

“Kita tahu pasukan ini banyak muka baharu tapi saya rasa kita pasukan yang kuat. Kita boleh beri saingan kepada pasukan lain.

“Bila saya main nanti, saya nak menang.”

Rowley yang lahir di Brisbane Australia, tetapi mempunyai ibu yang berasal dari Malaysia.

Beliau mula beraksi dengan PDRM FC pada 2018 sebelum berhijrah ke Kelantan (2019), Kedah (2020), Pulau Pinang (2021) dan kini Pahang.