Luar Negara

Landon Donovan keluar dari persaraan, sertai kelab lama Jorge Pereyra Diaz

Bekas bintang skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Landon Donovan telah mengesahkan bahawa dia akan keluar dari persaraan untuk menyertai bekas kelab Jorge Pereyra Diaz, Leon untuk musim 2018.

Donovan, yang bersara daripada bolasepak pada tahun 2016, dikatakan berada di Leon semenjak tiga hari lepas untuk membincangkan beberapa isu berkenaan kontraknya bersama mereka. Dan semalam, dia mengesahkan perkara tersebut melalui Twitter.

“Saya suka bandar dan kelab ini. Anda mempunyai penyokong yang terbaik. @clubleonfc merupakan kelab yang cukup bersejarah. Saya mahu berpindah ke Mexico, menyarung jersi hijau ini dan memenangi piala bersama Leon. Jumpa anda tidak lama lagi!,” kata Donovan.

Donovan merupakan antara pemain bolasepak terbaik dalam sejarah Amerika Syarikat dan pernah bermain untuk kelab-kelab seperti Bayer Leverkusen, Bayern Munich dan juga Everton. Dia juga merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah Major League Soccer (MSL) dan juga untuk skuad kebangsaan USA.

Bekas bintang LA Galaxy ini pernah mengumumkan persaraannya pada tahun 2014, sebelum kembali bermain untuk beberapa bulan pada tahun 2016, apabila kelab tersebut mengalami krisis kecederaan.

Leon membawa masuk Jorge Pereyra Diaz daripada JDT pada awal tahun 2017, namun selepas satu musim, Diaz membuat keputusan untuk kembali menyertai skuad Southern Tigers semula.