Asia AFC U23 Championship

OKS mahu anak buah bangkit semula menentang Jordan

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee mahu melihat anak buahnya bangkit semula daripada kekalahan 1-4 di tangan Iraq, apabila mereka turun menentang Jordan petang ini.

Kekalahan tersebut bermakna Malaysia mempunyai tugas yang agak sukar jika mahu mara ke peringkat kalah mati, namun OKS tidak mahu melihat pemainnya putus asa di atas padang.

“Kita baru beraksi dalam satu perlawanan, jadi tak ada sebab untuk kita putus asa dan lepas tangan,” kata OKS, menurut laman web rasmi AFC.

“Saya nampak pelbagai perkara positif dalam perlawanan pertama dan saya mahu lihat pemain saya menggunakan perkara tersebut untuk bangkit semula dalam perlawanan kedua,” tambah OKS.

Manakala, ketua jurulatih Jordan, Iain Brunskill pula berpendapat bahawa skuadnya akan tampak lebih yakin di atas padang hari ini selepas berjaya seri 2-2 bersama Arab Saudi dalam perlawanan pertama tempoh hari.

“Perkara paling penting adalah untuk mendapatkan keputusan yang positif. Kita perlu memenangi perlawanan seterusnya, walaupun Malaysia akan memberi cabaran yang cukup sengit.

“Walaupun seri 2-2 menentang Arab Saudi merupakan keputusan yang positif buat Jordan, saya mahu melihat pemain saya menunjukkan aksi yang lebih bagus di atas padang,” tambah Brunskill.