Liga Super Malaysia

Robert Pires berlakon dalam video promosi jersi baharu JDT

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’azim telah mendedahkan corak dan rekaan tiga jersi baharu mereka untuk musim 2018.

Jersi mereka dilancarkan dalam satu majlis yang diadakan di Johor Bahru malam semalam dengan presiden JDT, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah hadir sebagai tetamu kehormat.

Namun, perkara yang menarik perhatian ramai adalah video promosi yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers malam semalam.

Semenjak dua tahun lepas, JDT mula mengeluarkan video promosi untuk pelancaran jersi mereka dan apabila video untuk tahun ini dimuat naik, ia tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi ‘viral’, terutamanya apabila sedar bahawa bekas lagenda Arsenal, Robert Pires turut berlakon dalam video tersebut.

Pires sempat berkunjung ke Johor pada bulan November lepas apabila dia datang ke Singapura untuk perlawanan persahabatan di antara lagenda Arsenal dan lagenda Liverpool.

Saksikan video promosi tersebut di bawah!