Liga Super Malaysia Berita

Evan Dimas bakal menyertai Selangor? – Ini reaksi peminat bolasepak Indonesia

Evan Dimas dikhabarkan akan menyertai Selangor FA untuk tahun 2018, selepas pihak pengurusan Bhayangkara FC mendedahkan perkara tersebut.

Menurut sahabat kami di Football Tribe Indonesia, Evan telah menolak tawaran daripada kelab gergasi Thailand, Chonburi FC, untuk berhijrah ke Liga Super Malaysia bersama Selangor FA.

Laporan daripada Goal Malaysia menyatakan bahawa Selangor telah menawarkan gaji berjumlah RM83,570 (USD 20,000) kepada Evan – jumlah yang lebih besar daripada gaji yang ditawarkan oleh Chonburi.

Pada awalnya, perkara ini agak mengejutkan kerana Chonburi jelas merupakan kelab yang lebih besar daripada Selangor pada masa ini. Mereka juga pernah bermain di Liga Juara-Juara Asia dan mempunyai beberapa bintang Thailand dalam pasukan mereka, termasuk Kroekrit Thaweekarn.

Namun, menurut sahabat kami di Football Tribe Indonesia, kebanyakkan penyokong bolasepak di Indonesia lebih gemar menyaksikan Evan Dimas di Liga Super Malaysia atas beberapa sebab.

“Peminat bolasepak Indonesia tidak terkejut dengan berita ini kerana Selangor jelas menawarkan gaji yang dua kali lebih tinggi daripada jumlah yang tawarkan oleh Chonburi,” kata Mochamad Aby, yang merupakan Ketua Editor Football Tribe Indonesia.

“Mereka juga berpendapat bahawa Selangor merupakan kelab yang sesuai untuk Evan kerana budaya dan bahasa yang digunakan di Malaysia agak sama dengan Indonesia.

“Selangor juga mempunyai sejarah yang bagus dengan pemain Indonesia seperti Bambang Pamungkas dan juga Andik Vermansyah. Jadi tidak aneh bahawa kebanyakkan peminat Evan di sini lebih menggemari beliau berhijrah ke Selangor, berbanding dengan Chonburi,” tambah Aby.

Selain Evan Dimas, seorang lagi pemain Bhayangkara FC, Ilham Armaiyn turut dikaitkan dengan penghijrahan ke Selangor FA untuk musim depan.