Asia AFC U23 Championship

Ong Kim Swee mahu lihat anak buah berjuang demi slot separuh akhir

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee mahu melihat para pemainnya berjuang bermati-matian di atas padang petang ini, meskipun pencapaian mereka setakat ini sudah dikira sebagai kejayaan yang cukup bersejarah.

Anak buah OKS akan turun menentang Korea Selatan di peringkat suku akhir petang ini dan jurulatih yang berusia 47 tahun itu percaya Malaysia mampu memberi cabaran yang sengit.

“Kita tidak perlu memikirkan tentang apa keputusan yang kita dapat sebelum ini dan pemain harus kekal fokus. Layak ke peringkat suku akhir adalah satu pencapaian cukup baik dan misi kita belum habis kerana) kita ingin mencapai keputusan positif,” kata OKS, menurut laporan Kosmo!

“Tiada perkara atau senjata rahsia seperti kita tahu para pemain berjuang sebagai satu pasukan. Amat baik untuk kita dapat pemain-pemain yang boleh menukar situasi contohnya seperti Safawi atau Akhyar.

“Namun kalau melihat dari segi jaringan yang kita lakukan, bukan sahaja penyerang tetapi pemain te­ngah (Azam Nor Azih) dan Adam Nor Azlin sebagai pemain pertahanan membuktikan pernah menja­ringkan gol dalam perlawanan-per­lawanan penting.

“Jadi, bagi saya yang pen­ting adalah semangat berpasukan, tidak kira siapa menjaringkan gol. Apa yang penting kita capai keputusan yang kita inginkan,” tambah OKS.

Pasukan yang memenangi perlawanan petang ini akan berentap dengan Uzbekistan di peringkat separuh akhir, selepas skuad Rayshan Khaydarov berjaya menumpaskan Jepun 4-0 semalam.