Asia AFC U23 Championship

Kelebihan waktu rehat mungkin bantu Malaysia, kata ketua jurulatih Korea Selatan

Ketua jurulatih Korea Selatan, Kim Bong-gil berpendapat bahawa Malaysia mempunyai kelebihan yang mungkin membantu mereka apabile kedua-dua pasukan bertembung di peringkat suku akhir petang esok.

Kemenangan Malaysia ke atas Arab Saudi berlangsung pada hari Selasa lepas, manakala Korea Selatan pula menewaskan Australia satu hari kemudian. Bagi Kim, kelebihan waktu rehat itu memberikan masa yang lebih lama untuk skuad Datuk Ong Kim Swee membuat persediaan rapi.

“Waktu rehat yang lebih sudah tentu memberi kelebihan kepada Malaysia, namun pemain saya mempunyai semangat yang kuat dan saya yakin dengan kebolehan mereka,” kata Kim, menurut laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kami sempat mendapatkan rehat yang secukupnya semalam, jadi isu ini mungkin tidak akan memberi impak yang begitu besar.

“Perlawanan menentang Australia tempoh hari memang susah, tetapi dua perlawanan kami sebelum itu turut susah juga. Seperti yang saya katakan, pemain saya mempunyai semangat yang kuat dan unik. Saya yakin mereka mampu beri yang terbaik di atas padang,” tambah Kim.

Korea Selatan berjaya mara ke peringkat suku akhir sebagai juara Kumpulan D, dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.