Asia AFC U23 Championship

Piala AFC B-23: Kesebelasan terbaik daripada saingan peringkat kumpulan

Petang esok, Malaysia akan turun berdepan dengan Korea Selatan di pentas suku akhir Piala AFC B-23 tahun and ia akan menjadi perlawanan yang cukup bersejarah bagi anak buah Ong Kim Swee.

Namun, selain Malaysia, terdapat beberapa lagi negara yang turut berjaya melakar sejarah di pentas yang sama. Palestina turut layak ke suku akhir, biarpun beraksi di kejohanan ini buat kali pertama, manakala Vietnam pula berjaya merangkul slot peringkat kalah mati, meskipun berada di dalam kumpulan yang sama dengan Syria, Australia dan Korea Selatan.

Berdasarkan semua perlawanan peringkat kumpulan semenjak satu minggu lepas, panel Football Tribe telah memilih 11 pemain yang cukup cemerlang untuk negara mereka di atas padang:

GK: BUI TIEN DUNG (VIETNAM)

Tiada siapa yang boleh meragui kebolehan penjaga gol Vietnam ini, kerana dia berjaya menyimpan dua 'clean sheet', walaupun mereka berada di dalam kumpulan yang turut mengandungi Australia, Korea Selatan dan Syria. Walaupun diserang bertubi-tubi oleh Syria dan Australia, Tien Dung membuat lapan tepisan penting yang akhirnya membantu Vietnam mara ke peringkat suku akhir.

PERTAHANAN: ALAA MHAWI (IRAQ)

Alaa Mhawi merupakan antara pemain Iraq yang paling seimbang di kejohanan ini. Dia bukan sahaja bijak mengekang serangan lawan sebagai bek kiri, malah dia juga banyak membantu bahagian serangan Iraq, terutamanya ketika mereka turun menentang Malaysia dan Arab Saudi. Dia turut berjaya menjaringkan gol ketiga Iraq dalam kemenangan 4-1 mereka ke atas skuad Datuk Ong Kim Swee.

PERTAHANAN: KO ITAKURA (JEPUN)

Walaupun berusia 21 tahun, Ko Itakura tampil dengan aksi yang cukup matang sepanjang saingan peringkat kumpulan. Bintang muda Kawasaki Frontale itu memainkan peranan yang cukup penting untuk membantu Jepun mengekalkan rekod 100% kemenangan setakat ini, dan dia juga meledak dua gol menentang Thailand dan Palestine.

PERTAHANAN: DOSTONBEK TURSUNOV (UZBEKISTAN)

Uzbekistan berjaya layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama dalam sejarah kejohanan ini dan sebagai nadi bahagian pertahanan, Dostonbek Tursunov cukup cemerlang sepanjang saingan peringkat kumpulan. Uzbek hanya sekadar membolos satu gol setakat ini, dan Tursunov turut menjaringkan gol kemenangan ke atas Oman yang membantu mereka layak ke suku akhir.

TENGAH: ODAY DABBAGH (PALESTINE)

Selain Malaysia, Palestine juga beraksi di kejohanan ini buat kali pertama dan turut berjaya mara ke peringkat suku akhir. Dan bintang 19 tahun mereka, Oday Dabbagh jelas menjadi sumber inspirasi di bahagian serangan. Pemain sayap kiri itu sudah menjaringkan dua gol, termasuk gol menentang Korea Utara yang membantu Palestine merangkul mata pertama mereka di kejohanan ini.

TENGAH: HIROKI ITO (JEPUN)

Hiroki Ito adalah seorang lagi pemain Jepun yang menarik perhatian ramai di saingan peringkat kumpulan, walaupun dia merupakan pemain termuda dalam skuad Hajime Moriyasu. Dia cukup berani untuk menekan pertahanan lawan dan sentiasa mengunakan kreativiti untuk mencari rakan sepasukan. Setakat ini, dia sudah mencatat dua 'assist' untuk skuad Samurai Blues.

TENGAH: AKRAM AFIF (QATAR)

Persembahan yang ditunjukkan oleh Akram bukanlah sesuatu yang mengejutkan - ramai orang sudah menjangkakan perkara ini dari awal. Dia merupakan antara pemain terbaik dalam skuad Qatar, dan menjadi tonggak yang penting di antara bahagian tengah dan bahagian serangan. Malah, dia juga meledak satu gol ketika mereka turun menentang Oman tempoh hari.

TENGAH: NGUYEN QUANG HAI (VIETNAM)

Quang Hai sudah lama disebut sebagai pemain muda Vietnam yang mempunyai potensi yang cukup tinggi dan di China, dia berjaya membuktikan diri sekali lagi dengan corak permainan yang cukup mengagumkan. Selain menjaringkan gol tunggal Vietnam apabila mereka menewaskan Australia, Quang Hai turut mendapatkan satu gol dalam kekalahan mereka di tangan Korea Selatan. Pemain berusia 21 tahun ini juga banyak membantu bahagian pertahanan Vietnam.

PENYERANG: SAFAWI RASID (MALAYSIA)

Posisi asal Safawi adalah di bahagian sayap, namun bintang muda Johor Darul Ta'azim itu menunjukkan tahap kematangan yang tinggi untuk menggalas tanggungjawab bermain sebagai penyerang utama Malaysia di kejohanan ini. Hasilnya? Dia sudah menjaringkan dua gol setakat ini - satu ketika mereka tewas 4-1 di tangan Iraq, dan satu lagi apabila Malaysia berjaya seri 1-1 menentang Jordan. Skuad OKS berjaya mencipta sejarah di bumi China dan sumbangan yang diberikan oleh Safawi di atas padang, layak diberi pujian.

PENYERANG: ALMOEZ ALI (QATAR)

 Setakat ini, hanya dua individu sahaja yang berjaya meledak tiga gol di kejohanan ini dan penyerang Qatar, Almoez Ali adalah salah satu individu tersebut. Dia menjaringkan satu gol menentang Uzbekistan, sebelum mendapatkan dua lagi gol untuk membantu Qatar menewaskan China tempoh hari. Gol keduanya ketika menentang China jelas membuktikan bahawa Almoez turut mampu menggelecek bola dalam situasi tekanan tinggi.

PENYERANG: LEE KEUN-HO (KOREA SELATAN)

Keun-ho adalah seorang lagi pemain yang mempunyai tiga gol di bawah namanya, dan perlu dianalisa dengan teliti oleh barisan kejurulatihan Malaysia, sebelum perlawanan suku akhir di antara Malaysia dan Korea Selatan, Sabtu ini. Dia bukan sahaja laju dan berbadan tegap, malah, Keun-ho juga bijak mencari ruang di dalam kotak penalti pihak lawan.

Anda setuju dengan pilihan kami? Kongsikan pendapat anda melalui laman Facebook kami!