Asia AFC U23 Championship

Piala AFC B-23: 5 perkara daripada kemenangan bersejarah Malaysia ke atas Arab Saudi

Jika anda tak boleh berhenti senyum hari ini, jangan risau. Kami di Football Tribe Malaysia pun mengalami ‘fenomena’ yang sama.

Malam semalam, skuad Datuk Ong Kim Swee berjaya mencipta sejarah di Kunshan, China apabila menewaskan Arab Saudi 1-0, sekaligus menjadi pasukan Asia Tenggara pertama untuk mara ke peringkat kalah mati di pentas kejohanan AFC B-23 tahun.

Gol Daniel Amier pada minit ke-28 menjadi faktor yang akhirnya memisahkan kedua-dua pasukan dan Malaysia berjaya merangkul slot suku akhir sebagai naib juara Kumpulan C dengan empat mata daripada tiga perlawanan, di belakang Iraq, yang berjaya menjuarai kumpulan dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Ini bermakna, Malaysia akan turun menentang juara Kumpulan D (bergantung kepada dua perlawanan kumpulan tersebut yang dijadualkan berlangsung hari ini) di peringkat suku akhir pada 20 Januari akan datang.

Sebelum kita mula fokus terhadap perlawanan tersebut, berikut adalah lima perkara yang kami belajar daripada kemenangan Malaysia ke atas Arab Saudi malam semalam!

MALAYSIA MAMPU BERMAIN DENGAN POSITIF

Sebelum perlawanan malam semalam, OKS berjanji untuk tidak bermain dengan defensif kerana dia mahu anak buahnya menyerang Arab Saudi. Dan pemain Malaysia berjaya menunjukkan mentaliti tersebut di atas padang. Walaupun kita hanya mempunyai lebih kurang 30% penguasaan bola, skuad OKS cuba menyerang dengan strategik, setiap kali mereka merampas bola daripada pihak lawan. Situasi ini yang membantu Malaysia menjaringkan gol di babak pertama dan situasi ini turut membolehkan Malaysia menekan pemain Arab Saudi dengan agresif untuk mengucar-kacirkan tempo perlawanan bagi pihak lawan. Jarang sekali kita lihat pemain Malaysia bermain dengan cukup positif, jadi Datuk Ong Kim Swee layak menerima pujian untuk aspek ini.

ADAM, DOMINIC, IRFAN CUKUP KENTAL

Penulis masih ingat lagi perlawanan pertama menentang Iraq, di mana Dominic Tan menunjukkan persembahan yang gugup. Tiga hari selepas itu, walaupun Malaysia berjaya seri 1-1 menentang Jordan, barisan pertahanan Malaysia masih agak rapuh kerana Jordan diberi banyak peluang untuk menjaringkan gol. Tetapi malam semalam, Dominic Tan, Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria bermain dengan cukup matang demi mengekang segala usaha penyerang Arab Saudi. Malah, mereka juga bermain mati-matian pada 15 minit terakhir, apabila pemain Arab Saudi meningkatkan tempo untuk mencari gol penyamaan. Kejohanan ini bukan calang-calang. Ini merupakan pentas tertinggi di Asia bagi pemain bawah 23 tahun dan Adam, Dominic, Irfan berjaya membuktikan diri mereka dengan persembahan yang memberi inspirasi kepada orang ramai di Malaysia.

SEMANGAT YANG KUAT

Pasukan senior Arab Saudi berjaya layak ke Piala Dunia tahun ini dan beberapa pemain daripada skuad B-23 tahun ini mungkin diterapkan ke dalam skuad tersebut. Jadi, keputusan perlawanan malam semalam tidak boleh diperkecilkan kerana Malaysia berjaya menewaskan antara gergasi terbesar di kancah bolasepak Asia. Salah satu faktor yang membantu skuad OKS di atas padang adalah semangat yang cukup kuat. Bukan sahaja dari segi keberanian untuk menyerang, malah mereka juga mengatasi faktor keletihan dan tekanan yang tinggi daripada skuad Daniel Teglia, sepanjang 90 minit. Cuba anda lihat riak muka Azam Azih ketika dia dikeluarkan pada pertengahan babak kedua. Itu muka seorang pemain yang telah memberi 100% di atas padang. Lihat komitment yang ditunjukkan oleh Akhyar Rasid, setiap kali dia hilang kawalan bola. Dari segi kualiti, Arab Saudi jelas mempunyai barisan pemain yang lebih bagus. Tapi Malaysia berjaya raih tiga mata kerana mereka menunjukkan semangat yang tak tertandingi di atas padang.

 

HAZIQ NADZLI CEMERLANG SEKALI LAGI

Selepas membantu Malaysia mengikat Jordan 1-1 tempoh hari, Haziq Nadzli sekali lagi menunjukkan kebolehannya sebagai seorang penjaga gol malam semalam. Bukan mudah untuk menjadi penjaga gol dalam perlawanan yang berprofil tinggi seperti ini, namun ketenangan yang ditunjukkan oleh Haziq, sepanjang 90 minit semalam, layak diberi pujian. Terdapat beberapa insiden di mana Arab Saudi berjaya menembus pertahanan Malaysia, namun tepisan demi tepisan yang dilakukan oleh Haziq akhirnya memastikan tiga mata untuk skuad OKS. Malaysia selalunya tidak mengalami masalah untuk menghasilkan penjaga gol yang bagus - lihat sahaja senarai penjaga gol kita dari tahun 2009 hingga sekarang. Dan Haziq jelas merupakan ikon seterusnya untuk posisi tersebut.

AKHYAR ADALAH MASA DEPAN NEGARA

Kurang daripada tujuh tahun lepas, Nazmi Faiz menjadi hero muda Malaysia apabila mereka meraih pingat emas di pentas Sukan SEA 2011. Namun, perkembangan karier Nazmi tidak begitu memberangsangkan selepas itu, atas pelbagai faktor. Semua pemain memainkan peranan yang besar untuk membantu Malaysia layak ke suku akhir Piala AFC B-23 tahun di China, namun Akhyar Rashid adalah nama yang menarik perhatian ramai, termasuk rakan-rakan penulis di Vietnam, Indonesia dan juga Jepun. Dia bukan sahaja kreatif, pantas dan pandai membuat hantaran 'through ball', Akhyar juga mempunyai semangat juang yang tinggi dan sanggup bekerja keras di atas padang. Semenjak enam bulan lepas, kita sudah mula melihat potensi pemain ini jadi Kedah dan juga barisan jurulatih skuad kebangsaan perlu memastikan perkembangan karier pemain muda ini diberi perhatian yang teliti.